RAMOS menjaringkan gol pertama Sepanyol hasil umpanan Silva. -Foto AFP
RAMOS menjaringkan gol pertama Sepanyol hasil umpanan Silva. -Foto AFP
AFP

VADUZ, Liechtenstein: Alvaro Morata dan Iago Aspas meledak dua gol membantu Sepanyol membenam Liechtenstein 8-0 buat kali kedua awal pagi tadi sekali gus semakin hampir memastikan tempat ke Piala Dunia di Russia tahun depan.

Kemenangan 1-0 Itali ke atas Israel bermakna Sepanyol kekal tiga mata di depan Azzurri di puncak Kumpulan G kelayakan zon Eropah dengan baki dua perlawanan.

ASPAS (kiri) jaring gol keempat Sepanyol. -Foto AFP
ASPAS (kiri) jaring gol keempat Sepanyol. -Foto AFP

Bagaimanapun Sepanyol kini boleh mengambil kira kelebihan 17 gol berbanding Itali, bermakna menang di laman sendiri menentang Albania bulan depan sudah mampu mengesahkan kemaraan.

“Perbezaan antara kedua-dua pasukan terlalu besar, tapi anda perlu buktikannya di tengah padang,” kata jurulatih Sepanyol, Julen Lopetegui.

“Dalam kes ini pasukan amat serius sejak wisel permulaan dan mahu menamatkan aksi secepat mungkin.”

Juara dunia 2010 itu nyata terlalu unggul buat pasukan belasahan kumpulan itu, sesudah membelasah Liechtenstein 8-0 di laman sendiri setahun lalu.

PEMAIN Sepanyol meraikan kemenangan mereka. -Foto AFP
PEMAIN Sepanyol meraikan kemenangan mereka. -Foto AFP

Kapten Sepanyol, Sergio Ramos tidak menunggu lama membuka tirai jaringan selepas tiga minit apabila dia melonjak tinggi tanpa dicabar untuk menanduk masuk sepakan percuma David Silva.

Morata mengambil kesempatan ketiadaan rakan sepasukan Chelsea, Diego Costa yang kurang cergas ketika perbalahannya dengan Antonio Conte di kelab masih berterusan.

Morata membuktikan dia layak bermain sebagai penyerang utama skuad Lopetegui selepas meledak tiga gol dalam tempoh empat hari.

 Morata (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Liechtenstein. -Foto EPA
Morata (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Liechtenstein. -Foto EPA

“Jelas ia babak pertama yang mudah tapi kami mahu berseronok,” kata Morata.

“Akhirnya apa yang penting kami meraih tiga mata lagi dan semakin hampir untuk layak.”

Morata menyumbat dua gol pada minit ke-15 dan 54, Aspas (m-51 dan 63), Isco (m-16) dan Silva (m-39) manakala pertahanan Liechtenstein, Maximilian Goeppel menyumbat gol sendiri seminit sebelum tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 9:41 AM