BOBIE Farid mengakui terpaksa mengurangkan perbelanjaan bagi pasukan utama pada musim depan. FOTO ARKIB NSTP
BOBIE Farid mengakui terpaksa mengurangkan perbelanjaan bagi pasukan utama pada musim depan. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pertambahan dua pasukan iaitu Piala Belia dan Piala Presiden pada musim depan menyebabkan beberapa kelab Liga Super agak 'sakit' untuk menampung perbelanjaan pengurusan.

Melihat kepada situasi semasa, rata-rata kelab Liga Super pada musim ini bergelut untuk mencari dana bagi menguruskan skuad utama dan pertambahan dua pasukan sudah pastinya bakal menghadirkan masalah baharu dalam saingan Liga Malaysia.

Perkara terbabit diakui Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin apabila terpaksa mengurangkan perbelanjaan pasukan utama pada musim depan membabitkan pembelian pemain berkualiti.

Beliau berkata, pasukan utama boleh dikatakan menjadi mangsa bagi memenuhi syarat pelesenan kebangsaan itu dengan menganggarkan pertambahan perbelanjaan mencecah RM3.6 juta.

"Kami terpaksa menilai semula pembelian pemain untuk musim depan dengan mengurangkan perbelanjaan bagi membolehkan dua pasukan terbabit (belia dan Piala Presiden) beraksi tanpa sebarang masalah.

"Saya tidak kata idea itu tidak bagus, cuma apabila diletakkan di bahu kelab Liga Super menyaksikan akan berhadapan masalah dana untuk menguruskan empat pasukan.

"Saya cakap terus teranglah, memang ia akan tambah bebanan besar kepada semua pasukan, tak kira mana-mana pun.

"Tetapi kita kena ingat ada banyak pasukan masih ada FA (Persatuan Negeri). Ada FA yang sokong bagi sumbangan, macam kami ni tanpa persatuan, jadi nak kata kami selesa tak selesa pun," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan pasukan Liga Super mungkin akan terus ditimpa 'bala' pada musim depan apabila mereka diwajibkan mempunyai dua pasukan pembangunan membabitkan saingan Piala Presiden dan Piala Belia.

Syarat terbabit ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk pasukan yang memohon lesen kebangsaan musim depan berbanding tahun ini apabila pasukan boleh memilih salah satu pasukan sahaja.

Walaupun, hasrat terbabit dilihat murni kerana mahu memastikan pembangunan pemain akar umbi terjamin, ia akan menyebabkan pasukan Liga Super lebih terbeban kerana perbelanjaan untuk menguruskan kelab semakin meningkat.

Sementara itu, Penolong Pengurus PDRM FC,Mohd Shamshul Hisham Abd Razak berkata, ketika ini PDRM FC mempunyai kekangan untuk mencari pemain berusia bawah 19 tahun kerana rata-rata dibarisi anggota polis.

"Kami mungkin berhadapan masalah untuk menubuhkan pasukan belia kerana rata-rata anggota polis berusia 19 tahun ke atas, sekali gus perlu mencari pemain luar untuk beraksi bersama PDRM FC.

"PDRM FC hanya berbelanja mengikut dana yang sudah diperuntukkan kepada kami setiap tahun, sekali gus perlu berjimat cermat dan bekerja keras mencari penaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 5:07 PM