HAMIDIN (kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat Kesembilan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini. FOTO FB FAM
HAMIDIN (kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat Kesembilan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Sudahlah terbeban dengan tunggakan gaji, pasukan Liga Super mungkin akan terus ditimpa 'bala' pada musim depan apabila diwajibkan mempunyai dua pasukan pembangunan membabitkan saingan Piala Presiden dan Piala Belia.

Syarat terbabit ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk pasukan yang memohon lesen kebangsaan musim depan, berbanding pasukan boleh memilih salah satu pasukan sahaja bagi musim ini.

Walaupun, hasrat terbabit dilihat murni kerana mahu memastikan pembangunan pemain akar umbi terjamin, ia akan menyebabkan pasukan Liga Super lebih terbeban kerana perbelanjaan untuk menguruskan kelab semakin meningkat.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, Jawatankuasa Eksekutif bersetuju Pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia 2024 disertai 14 pasukan membabitkan kelab Liga Super 2024.

"Pasukan utama dalam pertandingan Liga Super musim depan diwajibkan menghantar pasukan Piala Presiden (B-20) dan Piala Belia (B-18).

"Pertandingan Piala Presiden dijadualkan bermula pada Februari hingga Ogos 2024 manakala Piala Belia dimulakan pada April hingga September 2024 disebabkan bertembung dengan kalendar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM yang dipengerusikan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, syarat penyertaan pasukan pembangunan iaitu Piala Presiden dan Piala Belia ada dinyatakan dalam permohonan lesen kebangsaan.

"Syarat pada tahun hadapan, kena ada pasukan pembangunan. Perkara ini, akan diperhalusi dan wajib ada. Jika tidak, tidak boleh bermain Liga Super. Kita harap, pasukan cari penyelesaian.

"Ini untuk pembangunan. Jika tidak semestinya ambil 30 pemain, mungkin boleh buat penggiliran pemain antara kedua-dua pasukan untuk penjimatan dan sebagainya," kata Noor Azman.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam memaklumkan keputusan lesen kebangsaan akan diumumkan minggu ini selepas penilaian menyeluruh First Instance Body (FIB).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 5:57 PM