KLINSMANN berada di SSI ketika JDT menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi Liga Juara-Juara Asia, malam tadi. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
KLINSMANN berada di SSI ketika JDT menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi Liga Juara-Juara Asia, malam tadi. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Berbaki lebih dua bulan atau lebih tepat 68 hari menjelang pusingan akhir Piala Asia di Qatar, Januari depan, Korea Selatan nampaknya gusar dan tak duduk diam.

Korea Selatan yang diletakkan dalam Kumpulan E bersama Harimau Malaya dan dua pasukan Asia Barat iaitu Bahrain dan Jordan dilihat memulakan langkah awal apabila merisik kebolehan setiap pemain negara.

Ia susulan kehadiran ketua jurulatih Korea Selatan yang juga legenda bola sepak Jerman, Jurgen Klinsmann di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri ketika aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Ulsan Hyundai, malam tadi.

Menerusi perkongsian gambar di akaun Facebook Johor Southern Tigers (JST), skuad Harimau Selatan menyatakan mengalu-alukan kehadiran Klinsmann di SSI itu.

"Kelab Bolasepak JDT mengalu-alukan kehadiran pemain legenda Jerman, Jurgen Klinsmann ke Stadium Sultan Ibrahim.

"Klinsmann yang kini ketua jurulatih Republik Korea menghadiri perlawanan Liga Juara-Juara AFC yang menyaksikan Harimau Selatan menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 malam tadi. Luaskan Kuasamu Johor," menurut laman sosial JDT itu.

Begitupun, kehadiran jurulatih yang pernah menjulang Piala Dunia bersama pasukan kebangsaan Jerman pada 1990 itu bukan semata-mata mahu menyaksikan aksi ACL, sebaliknya turut mahu mengintai pemain JDT.

Ini kerana, separuh kunci kepada kekuatan skuad Harimau Malaya datangnya daripada skuad Harimau Selatan terutama kelincahan Arif Aiman Hanapi, Akhyar Rashid dan ketangkasan penjaga gol, Syihan Hazmi.

Kemenangan 2-1 JDT ke atas Ulsan Hyundai pastinya membuka mata Klinsmann akan bahaya yang bakal diberikan anak buah Kim Pan-gon seperti mana dibuktikan ketika mengikat China 1-1 pada aksi persahabatan antarabangsa, September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 4:33 PM