CORBIN menjawab soalan pada sidang media menjelang perlawanan menentang Ulsan Hyundai, esok. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
CORBIN menjawab soalan pada sidang media menjelang perlawanan menentang Ulsan Hyundai, esok. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Bek kiri Johor Darul Ta'zim (JDT), Corbin Ong mengakui perlawanan menentang Ulsan Hyundai pada kempen Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Bolasepak Munsu, esok, amat mustahak dalam usaha melangkah ke peringkat seterusnya.

Corbin yang baru selesai bersama skuad Harimau Malaya mengharungi kempen Pestabola Merdeka, baru-baru ini, kini cergas sepenuhnya dan tidak sabar untuk beraksi bersama rakan sepasukan berdepan kelab Korea Selatan itu.

Malah, dia mahu menunjukkan karakter dahagakan kemenangan, sekali gus mengidamkan keputusan positif buat skuad Harimau Selatan.

"Saya senada dengan jurulatih (Esteban Solari) bahawa perlawanan esok adalah sangat penting untuk layak ke peringkat seterusnya meskipun kami boleh dianggap pasukan baru dalam kejohanan ini .

"Walaupun kami pernah tewaskan mereka pada musim lalu, banyak aspek sudah berubah berbanding tahun lalu dengan Ulsan menambah beberapa pemain baharu dan bermain di laman sendiri.

"Kami yakin dengan karektor pada pemain dalam pasukan ini sangat bagus dan sentiasa mahu bermain untuk menang dan saya yakin kami akan beri keputusan positif dalam perlawanan esok," katanya.

Corbin adalah sebahagian daripada skuad JDT yang menewaskan Ulsan Hyundai, musim lalu, sekali gus mencipta sejarah layak ke peringkat 16 terbaik buat kali pertama dan kini mahu mengulangi pencapaian sama.

Pada sidang media sama, Corbin mengelak untuk menjawab soalan media tempatan yang mengaitkan dirinya dengan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengenai keyakinan beraksi menentang kelab Korea Selatan.

Sebaliknya, dia mengakui menghormati lawan dan akan memberikan aksi terbaik jika diturunkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 5:28 PM