PEMAIN Johor Darul Ta’zim (JDT), Shahrul Saad. FOTO Aisyah Mazalan
PEMAIN Johor Darul Ta’zim (JDT), Shahrul Saad. FOTO Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


JOHOR BAHRU: Tonggak pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Shahrul Saad jelas teruja apabila tugasnya mengemudi benteng bersama rakan sepasukan Shane Lowry berjaya membantu skuad Harimau Selatan melakar kejutan apabila menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Malah bekas pemain Perak FC itu yang diberi kepercayaan oleh pengendali JDT, Benjamin Mora turun beraksi pada dua perlawanan mengakui dirinya agak gementar tatkala tidak beraksi dalam empat perlawanan Liga Super tapi pada pentas ACL ditugaskan mengemudi benteng pertahanan.

"Agak gementar juga apabila diturunkan pada aksi pertama menentang Guangzhou FC tapi Shane kerap memberi kata-kata semangat selain rakan sepasukan juga membantu memberi perangsang supaya saya beraksi konsisten dan Alhamdullilah semuanya berjalan lancar.

'Beraksi di saingan ACL adalah pentas yang terbaik walaupun dalam saingan liga tempatan saya tidak banyak diturunkan tapi itu bukan halangan untuk memperaga corak permainan mantap bagi memastikan benteng tidak mudah dibolosi.

"Aksi menentang Ulsan Hyundai cukup sengit dan sukar kerana kita tahu mereka merupakan pasukan terbaik di Korea Selatan dan kemenangan yang digapai malam tadi sememangan amat berharga kerana bukan mudah untuk tewaskan kelab yang memilik reputasi tinggi di rantau Asia," katanya

Ditanya mengenai situasi apabila Ulsan Hyundai berjaya menyamakan kedudukan 1-1, pemain kebangsaan itu tampak enggan mengalah sebaliknya berkeyakinan JDT mampu mencipta kejutan untuk memburu kemenangan.

Katanya, walaupun dibolosi, pemain JDT tampak tetap tenang dan bersikap positif untuk terus memberi tekanan terhadap Ulsan Hyundai dan apabila berpeluang menjaring gol ternyata Bergson (Da Silva) tidak mensia-siakan umuk pastikan kemenangan memihak JDT.

"Kemenangan yang kami raih pada perlawanan itu hasil daripada komitmen tinggi setiap pemain tidak kira pemain utama dan simpanan apabila kami bersatu hati sebagai satu keluarga besar yang mengamalkan pendirian menang sorak bersama dan tewas...tewas bersama," kata Shahrul.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 12:01 PM