KETUA Jurulatih JDT, Benjamin Mora (kiri) bersama Leandro Velazquez dikawal ketat selepas pasukannya menewaskan Sabah FC 2-1 di Stadium Likas, 15 Julai lalu. FOTO MOHD ADAM ARININ
KETUA Jurulatih JDT, Benjamin Mora (kiri) bersama Leandro Velazquez dikawal ketat selepas pasukannya menewaskan Sabah FC 2-1 di Stadium Likas, 15 Julai lalu. FOTO MOHD ADAM ARININ
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sentuhan Argentina kemungkinan sekali lagi bakal diterapkan dalam permainan skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila dikhabarkan kedudukan Benjamin Mora sebagai pengendali pasukan, bakal berakhir.

Ia susulan beberapa masalah peribadi yang berlaku di sebalik tabir sejurus tamatnya perlawanan Liga Super menentang Sabah FC pada 15 Julai lalu, menyaksikan Mora kemungkinan digantikan dengan jurulatih baru.

Malah, ketiadaan Mora dalam dua aksi sebelum ini termasuk ketika menang ke atas Penang FC dan Melaka United dalam aksi suku akhir Piala FA, seolah-olah mengesahkan kedudukan jurulatih berasal dari Mexico itu.

Menurut sumber, pengganti Mora sudah berada di Johor Bharu dan bakal diumumkan pada bila-bila masa oleh juara lapan kali berturut-turut Liga Super itu.

Difahamkan, pelantikan itu perlu disegerakan bagi membolehkan pemain JDT tampil lebih bersedia menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Urawa Red dari Jepun pada peringkat 16 terbaik di Saitama, 19 Ogos ini.

Untuk rekod, sentuhan jurulatih dari Argentina sentiasa membawa tuah buat JDT apabila pada 2015 ketika di bawah kendalian Mario Gomez, skuad Harimau Selatan melakar sejarah apabila muncul kelab pertama dari Malaysia dan Asia Tenggara menjuarai Piala AFC.

Malah, kehadiran dua lagi jurulatih dari Argentina selepas itu Raul Longhi (2018) dan Luciano Figueroa (2018-2020) turut cemerlang dengan menghadiahkan kejuaraan Liga Super dan beberapa trofi domestik lain.

Di bawah bimbingan Mora pula, JDT terus mendominasi Liga Super sejak kali pertama memenanginya pada musim 2014 hingga tahun lalu serta Piala Sumbangsih sebanyak dua kali pada 2021 dan 2022.

Selain itu, Mora turut memahat kejayaan apabila membimbing JDT layak ke pusingan 16 terakhir ACL selepas tewaskan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 2:13 PM