PENYERANG TFC, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob (kanan) idam penampilan pertama di pentas final Piala Malaysia. FOTO Ghazali Kori
PENYERANG TFC, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob (kanan) idam penampilan pertama di pentas final Piala Malaysia. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu : Penyerang meningkat naik Terengganu FC (TFC), Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob enggan kempunan lagi apabila pasukannya bakal berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, Jumaat ini.

Jelas pemain kelahiran Besut itu, kekalahan kepada skuad The City Boys itu pada aksi separuh akhir Piala FA Jun lalu sukar ditelan dan masih berbekas terutama hanya selangkah sahaja lagi untuk mara ke final.

Justeru pemain berusia 24 tahun yang memulakan kariernya bersama skuad Piala Presiden Terengganu tekad untuk membalas dendam bagi memastikan impian pasukan untuk mara ke pentas akhir menjadi kenyataan lebih-lebih lagi musim lalu terkandas di peringkat separuh akhir kepada Selangor FC dalam saingan yang sama.

Katanya, aura beraksi di tempat sendiri di hadapan ribuan peminat setia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak bakal dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengelak 'berputih mata' buat kali kedua.

"Selepas dijadualkan bertembung sekali lagi pada aksi separuh akhir, saya memasang impian untuk membalas dendam kekalahan ke atas lawan yang sama pada aksi separuh akhir Piala FA Jun lalu.

"Kini berbekalkan semangat yang tinggi lebih-lebih lagi bakal beraksi di tempat sendiri, aura penyokong setia diharapkan dapat membantu kami berjuang habis-habisan dalam misi melangkah ke final.

"Malah secara peribadi juga saya mahu melakar catatan dalam diari peribadi untuk melangkah ke pentas final Piala Malaysia buat kali pertama dan seterusnya mengintai kejuaraan sulung sebagai pemain," ujar Shakir.

TFC berpeluang untuk mara ke pentas final lebih-lebih lagi berkelebihan satu jaringan ketika menang 2-1 pada aksi separuh akhir pertama bulan lalu hasil jaringan Ivan Mamut dan Nik Muhamad Sharif Haseefy Mohd Lazim manakala jaringan lawan menerusi sepakan penalti Tchetche.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 1:19 PM