MAMUT (tengah) idam buru gol berdepan KL City FC. FOTO GHAZALI KORI
MAMUT (tengah) idam buru gol berdepan KL City FC. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut laung keazaman untuk merobek gawang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu ini.

Jelas penjaring terbanyak skuad Penyu itu, tanggungjawab sebagai penggempur yang diberikan oleh jurulatih kepadanya bakal dimanfaatkan sebaik mungkin dalam misi membawa pulang bekalan sebelum aksi timbal balik pada 3 November depan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Bagaimanapun penyerang kelahiran Croatia itu tidak kisah siapa yang menjaringkan gol kerana baginya yang penting skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu melakar kemenangan dalam aksi pertama itu.

Berdasarkan rekod, pemain yang baharu musim pertama beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) sudah menjaringkan 17 gol termasuk dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

"Selaku penyerang, sudah pasti setiap kali diturunkan saya berazam untuk menjaringkan gol kerana itu adalah tugas utama saya, lagipun aksi pada Sabtu ini begitu penting dalam misi melangkah ke final.

"Jika berpeluang, saya bertekad tidak akan mensia-siakan harapan pasukan dan peminat yang mahukan kami menang lebih-lebih lagi hanya selangkah untuk mara.

"Namun sebenarnya siapa yang menjaringkan gol itu tidak begitu penting, jika rakan sepasukan berpeluang saya juga gembira, apa yang penting adalah menang dan berjaya melangkah ke pentas final apatah yang pertama buat saya dalam Liga M.

"Lagipun kami tidak sanggup lagi kecewa buat kali kedua berturut-turut kepada lawan yang sama selepas diketepikan skuad KL City itu pada aksi separuh akhir Piala FA Jun lalu.

"Buat peminat setia TFC yang tidak jemu menyokong kami, sokongan anda begitu ditagih bagi membakar lagi semangat kami ketika beraksi di tempat lawan dan laman sendiri," ujar pemain berketinggian 1.92 meter itu.

Atas kertas kedua-dua pasukan dilihat seimbang dan masing-masing berpeluang untuk mara ke pentas final piala berprestij dalam negara edisi ke-97 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 2:19 PM