PAPE Diakite bertekad untuk mengekang pergerakan Selangor FC pada aksi separuh akhir Piala FA. -FOTO Ghazali Kori
PAPE Diakite bertekad untuk mengekang pergerakan Selangor FC pada aksi separuh akhir Piala FA. -FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Menjadi penonton ketika rakan sepasukan berjuang menentang Kuching City FC (KCFC) pada aksi suku akhir Piala FA minggu lalu begitu pahit untuk ditelan pertahanan Terengganu FC (TFC), Pape Diakite.

Justeru pertemuan dengan Selangor FC pada aksi separuh akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini, pemain kelahiran Senegal itu melaungkan keazaman untuk 'mengunci' setiap pergerakan penyerang The Red Giants.

Tambah bekas pemain kelab Saigon Football Club dalam Liga Vietnam itu, musim pertamanya beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) juga membuatkan dia begitu bersemangat untuk mencipta sejarah peribadi membantu skuad Penyu melangkah ke final.

Bagaimanapun pemain berketinggian 1.94 meter itu sedar bukan tugas mudah buat dia dan rakan sepasukannya untuk mengawal setiap inci pergerakan pemain skuad kendalian Michael Feichtenbeiner itu.

"Kami perlu bersedia sepenuhnya berdepan Selangor FC, ini kerana ianya aksi hidup mati kami dalam misi untuk memburu slot ke pentas final.

"Lagipun skuad lawan mempunyai pemain bagus dan berkualiti yang boleh memberi ancaman kepada kami, tapi saya tidak gentar kerana kami juga mempunyai pemain yang bagus dan ditambah perancangan terbaik barisan jurulatih.

"Besar impian kami agar misi untuk mara ke pentas final tercapai lebih-lebih lagi musim pertama saya beraksi di negara ini. Jadi saya turut mengingatkan rakan sepasukan agar beraksi bermati-matian bagaikan pentas final," katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ketika ditanya adakah pemain bakal tertekan kerana beraksi di depan 'lautan' peminat setia, pemain berusia 30 tahun itu menafikannya sebaliknya akui ianya kelebihan buat TFC.

"Kami tiada tekanan beraksi di tempat sendiri sebaliknya kelebihan kepada kami dengan sokongan padu daripada peminat setia, tapi kami perlu berhati-hati dengan strategi pasukan lawan supaya tidak terperangkap," katanya yang mengharapkan dia dan rakan sepasukan tidak demam.

Ketika TFC membenam KCFC 4-1, pemain beragama Islam itu digantung satu perlawanan kerana menerima kad merah pada minit ke-50 ketika pertemuan dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 1:10 PM