Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selain aksi sebenar 90 minit, sepakan penalti dan masa tambahan menjadi fokus barisan kejurulatihan Terengganu FC (TFC) sebagai persiapan menjelang pertemuan penting separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Inskandar Puteri, malam esok.

Pengendalinya, Nafuzi Zain menjelaskan dalam aksi kalah mati itu, perlawanan berlarutan dengan masa tambahan dan berakhir dengan sepakan penalti adalah situasi biasa berlaku dalam sukan nombor satu itu.

Bagaimanapun beliau yang dibantu dengan kepakaran dua bekas kapten kebangsaan, Tengku Hazman Raja Hassan dan Rosdi Talib serta jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin mahukan aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu berakhir dalam tempoh 90 minit dengan kemenangan berpihak kepada pasukannya.

Beliau yang pernah membantu pasukan mara ke pentas final Piala Malaysia pada 2018 ketika menjadi penolong jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim menuntut anak buahnya beraksi bagaikan pentas final.

Katanya, pada aksi yang dijangka berintensiti tinggi itu, pemain perlu mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan selain berwaspada dengan ancaman yang bakal lawan.

PENGENDALI Terengganu FC, Nafuzi Zain ketika sesi latihan menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. -FOTO Ghazali Kori
PENGENDALI Terengganu FC, Nafuzi Zain ketika sesi latihan menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. -FOTO Ghazali Kori

"Kita sudah ingatkan pemain sentiasa bersedia dengan tambahan masa dan sepakan penalti kerana pelbagai kemungkinan boleh terjadi lebih-lebih lagi peluang buat kami masih terbuka luas untuk mara ke pentas final.

"Namun jika boleh saya nak habiskan perlawanan pada masa sebenar 90 minit bagi mengulangi pencapaian 2018 juga menundukkan skuad itu dengan agregat 3-2 pada aksi separuh akhir Piala Malaysia," katanya.

Ketika ditanya adakah ayam tambatannya, Jordan Mintah dan dua pemain sayap, Faisal Halim serta Faiz Nasir bakal 'dirantai' pertahanan lawan sekali gus menyukarkannya bergerak, Nafuzi menjelaskan situasi itu biasa dan tidak menggusarkannya.

"Saya sudah jangkakan Mintah dan pemain lain bakal dikawal rapi pertahanan lawan, situasi itu normal berlaku, tapi saya ada taktikal untuk berdepan pasukan itu selain menuntut pemain bijak menghidu peluang dan tidak beremosi ketika bermain.

Skuad Benjamin Mora mempunyai kelebihan jaringan gol di tempat lawan selepas aksi pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin berakhir dengan keputusan 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 12:59 PM