Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Pengendali Johor Darul Ta'zim Football Club (JDT FC), Esteban Solari mempertahankan anak buahnya meskipun hanya menyumbat dua gol dalam aksi Liga Super bertemu Kelantan United Football Club (KUFC), malam tadi.

Ini berikutan kedudukan Harimau Selatan yang dijangka berpesta gol menentang Kelantan United yang berada di kedudukan ketiga tercorot liga namun hanya menjaring dua gol di saat akhir perlawanan di stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu.

Solari berkata, ini berikutan anak buahnya keletihan kerana mengharungi banyak perlawanan dan mengharungi perjalanan yang panjang bagi perlawanan peringkat antarabangsa termasuk baru pulang daripada perlawanan menentang Ulsan Hyundai pada aksi ketiga Kumpulan 1 saingan Liga-Liga Juara Asia (ACL) di Stadium Bolasepak Munsu, Korea Selatan, Selasa lalu.

"Namun ini bukan alasan, kami cuba jaga pemain dalam sebulan kita harung banyak perlawanan dan perjalanan, tetapi pemain tetap menunjukkan kesediaan mereka, memberi persembahan yang bagus dan kami dapat keputusan yang baik," katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas perlawanan.

Solari berkata, pemain yang mengalami kecederaan seperti Diogo turut membantu pasukan walaupun mengalami kecederaan hampir dua bulan.

Ujar beliau, tiada pasukan lawan dipandang rendah kerana setiap perlawanan dianggap sebagai 'final' dan pasukan perlu menang.

"Hari ini (malam tadi) kita sudah memberikan yang terbaik, banyak cipta peluang, saya bangga dengan mereka (pemain)," katanya.

Berhubung desas desus kemasukan pemain dari Argentina, Jalil Elias menyarung jersi JDT musim depan, Solari berkata dia mahu memberikan tumpuan harimau selatan bertemu Perak dan menyerahkan keputusan itu kepada pihak pengurusan.

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan United, Ailton Silva berkata, meskipun turun tanpa beberapa tonggak penting akibat kecederaan namun dia bangga dengan persembahan Kijang Hijau malam tadi.

Katanya, pemainnya menunjukkan pemain yang sangat baik sehingga minit ke 74 sebelum dibolosi Fernando Forestieri dan digandakan gol saat akhir Bergson.

"Mereka profesional, semua dapat bermain dengan baik walaupun ada empat, lima pemain kami tak dapat diturunkan akibat cedera, saya sudah melakukan persiapan untuk hadapi JDT, dan gembira dengan persembahan pemain.

"Fokus kami kini menentang Kuching City FC dalam piala cabaran kerana bermain petang, Kota Bharu agak panas, saya perlu periksa keadaan pemain, dalam kepala saya banyak perancangan tapi buat masa ini biarkan pemain rehat sebelum sambung latihan pada Selasa," katanya.

Untuk rekod, JDT mengesahkan kejuaraan di Liga Super September lalu selepas memenangi 22 daripada 23 perlawanan dengan berkelebihan 15 gol berbanding pasukan kedua tangga liga, Selangor FC, kemenangan semalam juga menjadikan JDT lawan ke 15 menewaskan Kelantan United sepanjang saingan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 2:02 PM
AKSI antara Kelantan United dan JDT semalam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
AKSI antara Kelantan United dan JDT semalam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR