SOLARI  (kiri) bersama penyerang JDT, Fernando Forestieri dalam sidang media pra perlawanan  menentang Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok. FOTO Rizar Mohd Noor
SOLARI (kiri) bersama penyerang JDT, Fernando Forestieri dalam sidang media pra perlawanan menentang Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok. FOTO Rizar Mohd Noor
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Walaupun mengakui berdepan tugas sukar namun pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari menaruh harapan tinggi untuk melakar kejutan ke atas Ulsan Hyundai dalam aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam esok.

Solari berkata, Ulsan Hyundai sudah pasti mahu mengulangi rentak kemenangan selepas menewaskan JDT 3-1 pada 24 Oktober lalu dan ditambah pula pasukan itu muncul juara Liga 1 Korea (Liga K1) selepas menewaskan Daegu 2-0 pada aksi 29 Oktober lalu.

"Ya kita akan menentang juara liga Korea tapi itu bukan alasan untuk terlalu menghormati mereka, sebaliknya semua pemain JDT begitu bermotivasi dan sentiasa fokus malah sedar pentingnya aksi malam esok.

"Kami kena bekerja lebih keras lagi dan pemain sedar apa yang perlu dilakukan nanti terutama dalam babak pertama perlawanan kerana berdepan Ulsan memerlukan mentatili kuat bagi mengimbangi kekuatan pasukan itu.

"Berbekalkan prestasi memuaskan dalam aksi Liga Super dan saingan separuh akhir Piala Malaysia, kami mahu sesuatu dalam saingan ACL dan ianya bukan misi hidup atau mati kerana dalam permainan bola sepak semuanya perlu konsisten dan mengekalkan corak permainan berintensiti tinggi," katanya.

Pengendali kelahiran Argentina itu juga akan memastikan kesebelasan pemain akan diturunkan nanti tidak melakukan kesilapan mudah yang membolehkan skuad kendalian Hong Myung-bo menguasai permainan.

"Jika diimbas permainan lalu, kita banyak belajar apa yang berlaku selepas mereka jaringkan gol. Malah ia juga berlaku ketika menentang BG Pathum United dan ia tidak boleh lagi berulang kerana akan menjejaskan permainan kami.

"Jadi kita kena berusaha mendominasi permainan dan cuba bermain ofensif selain memperkemaskan lagi benteng pertahanan yang agak longgar apabila begitu mudah membuka ruang kepda lawan menjaringkan gol," kata Solari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 2:04 PM