REAKSI kecewa barisan pemain Chelsea selepas tamat perlawanan. FOTO REUTERS
REAKSI kecewa barisan pemain Chelsea selepas tamat perlawanan. FOTO REUTERS
Reuters

London: Brentford meraih kemenangan 2-0 di Chelsea hasil tandukan pemain pertahanan, Ethan Pinnock dan gol minit terakhir Bryan Mbeumo ketika Blues yang berbelanja besar gagal meledak gol meskipun menguasai permainan.

Pinnock menyempurnakan hantaran Mbeumo pada minit ke-58 untuk mengejutkan tuan rumah yang sering mengasak kawasan penalti Bees namun gagal menghasilkan gol.

Ketika The Blues menggandakan asakan pada minit ke-96 untuk mencari gol penyamaan, penjaga gol, Robert Sanchez mara ke atas selepas Chelsea memperoleh sepakan sudut.

Namun tindakannya itu hanya memakan diri selepas pelawat melakukan serangan balas selepas itu dan Mbeumo menjaringkan gol ke gawang yang kosong.

Chelsea kini hanya memenangi satu daripada 13 perlawanan liga terakhir mereka di tempat sendiri, satu pencapaian yang mengecewakan sejak musim lalu apabila mereka memecat pengurus Thomas Tuchel dan kemudian Graham Potter.

Pemain sayap Chelsea, Noni Madueke hampir memecah kebuntuan pada separuh masa pertama tetapi sepakannya terkena palang pada minit ke-10.

Brentford melonjak di tangga ke-10 liga manakala Chelsea turun ke tangga ke-11.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 10:09 PM