Pemain THT, Nukman Hakim Mohamad (kiri) diasak pemain UiTM HA, pada perlawanan LHM di Stadium Hoki Batu Buruk. FOTO Ghazali Kori
Pemain THT, Nukman Hakim Mohamad (kiri) diasak pemain UiTM HA, pada perlawanan LHM di Stadium Hoki Batu Buruk. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pasukan Hoki Terengganu (THT) berjaya merampas kedudukan teratas liga selepas mudah menumpaskan UiTM HA 4-1 dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB) sebentar tadi.

Beraksi dalam keadaan hujan, skuad The Turtles mendapat peluang pertama seawal minit kelima menerusi pukulan sudut penalti, namun Faizal yang mengambil pukulan itu gagal memanfaatkan peluang berkenaan untuk disudahkan dengan jaringan.

Tiga minit berselang, berbekalkan sokongan lebih 300 peminat setia, THT sekali lagi dihadiahkan pukulan sudut penalti, skrip sama berulang apabila pukulan yang diambil Faizal berjaya dipatahkan pertahanan pelawat.

Bagaimanapun jaringan yang dinantikan skuad itu akhirnya menjelma pada minit kesembilan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan penyerang prolifik skuad itu, Faizal.

Belum sempat skuad lawan menyusun strategi, penyerang kebangsaan itu sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak gol kedua pasukannya pada minit ke-14 juga menerusi pukulan sudut penalti sekali gus mengukuhkan kedudukan 2-0.

Peluang terbaik skuad bimbingan Shaiful Azli Abd Rahman untuk merapatkan kedudukan hadir pada minit ke-20 menerusi Muhammad Aidil Mohd Jaafar yang hanya berdepan dengan penjaga gol, namun gagal disudahkan dengan jaringan.

Sebaliknya The Turtles yang mendominasi permainan berjaya menambah jaringan ketiga juga menerusi pukulan sudut penalti Faizal pada minit ke-50 sekali gus hatrik ketiga dalam saingan MHL musim ini dan gol peribadi ke-19 pemain itu sekali gus mendahului senarai penjaring gol terbanyak setakat ini.

Selepas jaringan itu, skuad tuan rumah kian bernafsu untuk menambah jaringan, hasilnya pada minit ke-53 pemain senior, Ismail Abu menambah duka pelawat apabila meledak jaringan keempat pasukannya menerusi gol padang.

Ketinggalan 0-4, pelawat tidak sesekali mengendurkan asakan, sebaliknya terus mengasak sebelum berjaya mendapatkan gol saguhati menerusi jaringan padang Danial Asyraf Abdul Ghani pada minit ke-58 untuk menjadikan kedudukan kekal 4-1.

Dengan kemenangan itu, skuad THT mengumpul 23 mata hasil sembilan perlawanan manakala UiTM HA kekal dengan mengutip 13 mata juga daripada sembilan perlawanan.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, kedua-dua pasukan terikat 1-1

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 7:58 PM