REAKSI Hodak pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. FOTO GHAZALI KORI
REAKSI Hodak pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Bojan Hodak menafikan pasukannya menang atas faktor nasib selepas mara ke pentas final Piala FA pada aksi yang terpaksa diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti.

Pada aksi separuh akhir menentang tuan rumah, Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi, skuad The City Boys itu menumpaskan skuad Penyu 4-2 selepas kedudukan sehingga masa tambahan terikat tanpa jaringan.

Lebih menggembirakan jurulatih kelahiran Croatia itu melihat anak buahnya tidak tertekan biarpun beraksi di depan ribuan penyokong setia skuad itu sebelum melakar kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti itu.

"Ia perlawanan yang begitu sukar sehingga pasukan kami kerap diasak, pada babak pertama lawan tidak memberi peluang kepada kami bermain bola, penguasaan jelas milik mereka, ketika itu kita dapat saksikan perbezaan 'level' pasukan.

"Namun pada separuh masa kedua, pemain kami mula mendapat rentak dengan mengawal permainan sebelum mendapat beberapa peluang untuk disudahkan dengan jaringan, namun tidak berhasil sehinggalah ke masa tambahan.

"Ketika perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti, ada beberapa pemain TFC sudah mula keletihan, saya fikir mungkin situasi itu memberi petanda baik buat kami untuk melangkah ke pentas final.

"Lagipun tidak banyak peluang yang dimiliki dalam perlawanan itu, namun akhirnya kami mara, tapi kemenangan itu bukan nasib, ia atas semangat tinggi pemain yang berusaha keras," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan itu.

Dalam pada itu, Hodak memuji persembahan berkualiti yang diperagakan penjaga gol mudanya, Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin yang bijak berdepan dengan situasi genting walaupun beraksi di depan ribuan penyokong tuan rumah.

"Saya nobatkan dia (Azim) pemain terbaik perlawanan pada malam ini (malam tadi), dia berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti, dia juga beraksi cemerlang sepanjang perlawanan dengan berjaya menggagalkan beberapa percubaan bahaya lawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 2:43 PM