Kuala Lumpur: Malaysia layak ke final selepas mengalahkan Jepun 3-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 pada perlawanan separuh akhir pusingan kedua Liga Hoki Dunia semalam.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Tai Beng Hai (gambar) berdepan Poland di pentas final, hari ini.

Skuad negara memulakan aksi meyakinkan apabila mendahului seawal minit kelima menerusi Muhammad Marhan Mohd Jalil.

Gol itu mengejutkan Jepun namun anak didik Beng Hai tidak menggunakan kesempatan di atas kecelaruan bentang lawan yang kerap melakukan kesilapan untuk menambah jaringan.

Keadaan itu mengembalikan semula keyakinan Jepun menyusun semula gerakan dengan permainan pantas dan hantaran pendek tapat.

Gawang negara akhirnya bocor apabila Kenta Tanaka menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-15 untuk menidakkan gol pendahuluan Malaysia.

Perlawanan berlanjutan dengan kedudukan 1-1 sehingga tamat permainan dengan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti yang berpihak kepeda Malaysia dengan kemenangan 3-2.

Beng Hai optimis skuad negara mampu menewaskan Poland, jika diambil kira prestasi dan corak persembahan sepanjang kejohanan ini.

“Kami sudah menukar corak permainan sejak kali terakhir bertemu Poland menerusi dua aksi persahabatan di Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya.

“Pada waktu itu, pemain tidak bersedia lagi kerana liga baru saja tamat tetapi kali ini mereka sudah bersedia. Saya harap kami mampu menewaskan Poland.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 7:31 AM