PEMAIN pasukan PDRM, Izaaq Izhan Yuswardi (kanan) mengasak pemain pasukan Kucing City FC, Pedro Henrique Cortes Oliveira Gois (dua kiri) ketika perlawanan Liga Super 2023 di Stadium MBPJ malam ini. FOTO BERNAMA
PEMAIN pasukan PDRM, Izaaq Izhan Yuswardi (kanan) mengasak pemain pasukan Kucing City FC, Pedro Henrique Cortes Oliveira Gois (dua kiri) ketika perlawanan Liga Super 2023 di Stadium MBPJ malam ini. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Petaling Jaya: PDRM FC dan Kuching City terpaksa berpuas hati berkongsi mata selepas perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berakhir dengan jaringan seri 1-1.

Aksi membabitkan kedua-dua pasukan itu dicemari dengan beberapa insiden apabila pemain Kuching City, Jimmy Raymond terpaksa dibawa ke hospital dan keputusan pengadil perlawanan, Zamzaidi Katimin membatalkan dua jaringan turut mewarnai perlawanan kali ini.

Terdahulu, Uche Agba memastikan babak pertama menjadi milik The Cops ketika membuka jaringan perlawanan pada minit ke-45.

Walaupun jaringan Abu Kamara di awal babak kedua dibatalkan, minit ke-58, peledak utama Kuching City itu berjaya menebus kekecewaan apabila memperoleh jaringan penyamaan.

Bagaimanapun perlawanan terpaksa dihentikan untuk tempoh kira-kira lima minit bagi membolehkan Jimmy diberikan rawatan sebelum pemain itu dibawa menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital selepas bola dilihat terkena mukanya semasa cuba menghalang percubaan pemain lawan.

Pada masa kecederaan, kem PDRM FC ceria apabila penggempur utama mereka Bruno Suzuki berjaya menggegar gawang namun perbincangan semula dengan penjaga garisan menyaksikan Zamzaidi membatalkan jaringan itu.

Hal ini kerana pengadil mendapati penjaga gol pelawat, Wan Muhammad Azraie Wan Teh terbaring kerana alami kecederaan.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan kini sedang berada pada prestasi terbaik dan sedang mengintai peluang untuk mara ke final Piala Cabaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 10:54 PM