BRENDAN muncul pemain pertama dilayangkan kad merah menerusi semakan VAR pada perlawanan pramusim bagi menguji teknologi berkenaan antara KL City FC menentang NSFC, malam ini. FOTO FB KUALA LUMPUR CITY
BRENDAN muncul pemain pertama dilayangkan kad merah menerusi semakan VAR pada perlawanan pramusim bagi menguji teknologi berkenaan antara KL City FC menentang NSFC, malam ini. FOTO FB KUALA LUMPUR CITY
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penggunaan video bantuan pengadil (VAR) ternyata memberi kelebihan kepada pasukan Kuala Lumpur City (KL City) FC untuk bergelar juara Piala Menteri Wilayah Persekutuan dengan menumpaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-1, sebentar tadi.

Aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila VAR digunakan buat kali pertama membabitkan aksi kompetitif di negara ini.

Lebih mencuri tumpuan adalah pemain tengah Harimau Malaya yang juga tonggak baharu KL City, Brendan Gan menjadi 'mangsa' kepada teknologi berkenaan apabila dilayangkan kad merah pada minit ke-79.

Brendan dilayangkan kad merah selepas pengadil perlawanan Zamzaidi Katimin melakukan semakan berulang kali dan mengambil masa enam minit sebelum melayangkan kad merah selepas pemain terbabit melakukan kekasaran terhadap lawan.

Selain itu, teknologi VAR pertama kali digunakan pada minit ke ke-18 bagi memeriksa kesalahan di kawasan kotak penalti NSFC.

Walaupun, bola dikatakan terkena tangan pemain skuad Jang itu, tetapi selepas semakan VAR, Zamzaidi memilih untuk sekadar memberikan sepakan penjuru.

VAR digunakan lagi pada minit ke-35 dan kali ini, Zamzaidi melakukan semakan di monitor tepi padang dan memberikan penalti kepada KL City, termasuk kad kuning buat pemain NSFC, Che Rashid Che Halim.

Pada perlawanan terbabit, skuad The City Boys terlebih dahulu membuka akaun gol menerusi Zhafri Yahya yang merembat deras untuk jaringan pertama buat KL City pada minit ke-23.

Gol kedua KL City pula disumbangkan Paulo Jouse pada minit ke-37 yang mengambil sepakan penalti selepas pertahanan NSFC mengasari pemain tuan rumah.

Jaringan terbabit ternyata membuatkan NSFC seolah-olah baru bangun daripada tidur apabila merapatkan jurang gol menerusi N Javabilaarivin pada minit ke-41.

Babak kedua bersambung menyaksikan kedua-dua pasukan mengasak ke kubu lawan bagi mencari gol tambahan.

Namun, barisan pemain dilihat lebih berhati-hati dalam menyekat gerakan lawan bagi mengelak dikenakan tindakan apabila kesalahan terbabit boleh dirujuk menerusi VAR.

Secara keseluruhan, penggunaan VAR pada perlawanan terbabit menyaksikan lebih lima kad kuning dilayangkan manakala seorang pemain dibuang padang selain tambahan masa secara keseluruhan sehingga 23 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 11:21 PM