BJ SONS akan menyertai Liga Junior X peringkat Negeri Sembilan. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
BJ SONS akan menyertai Liga Junior X peringkat Negeri Sembilan. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu atau 'ubi muda' dalam sukan bola sepak terutama di daerah ini, seorang pemuda tidak kisah mengeluarkan belanja sendiri bagi menubuhkan sebuah kelab.

Dikenali dengan nama BJ SONS FC atau Budak Jelebu Sons Of Negeri Sembilan, Khairil Anwar Abdul Wahab mula menubuhkan kelab itu sejak 2019.

Khairil Anwar berkata pada awalnya kelab berkenaan ditubuhkan bagi mengumpulkan rakan - rakan lama yang sebelum ini pernah bermain bola sepak di Kuala Klawang sejak zaman persekolahan lagi dan ia bertujuan merapatkan ukhwah bersama rakan - rakan.

Katanya selepas itu, dia memberanikan diri membawa kelab berkenaan bermain dalam pelbagai pertandingan di sekitar Jelebu sebagai usaha memeriahkan lagi sukan berkenaan.

"Saya turut mempelawa anak - anak rakan sepermainan yang berbakat dan berpotensi untuk dikembangkan lagi dalam sukan popular ini malah bagi mengasah ' taring', pelbagai perlawanan persahabatan turut diadakan.

"Apabila semakin ramai anak muda yang mahu menyertai kelab ini, saya ambil keputusan untuk kumpulkan mereka bagi membentuk dua pasukan iaitu BJ SONS FC bawah 16 dan 17 tahun,"katanya.

Khairil Anwar berkata dia juga tidak kisah mengeluarkan belanja sendiri untuk membawa pasukannya bermain dalam pertandingan di luar daerah.

Katanya kelab juga akan menghantar pasukan untuk bermain dalam Liga Junior X peringkat Negeri Sembilan selain akan menyertai pertandingan yang dianjurkan di peringkat kebangsaan .

"Saya juga terharu kerana ibu bapa pemain turut memberi sokongan dalam pembentukan pasukan ini.

"Saya juga mempunyai harapan, agar kelab ini dapat mewakili Jelebu dalam pelbagai pertandingan sama ada peringkat negeri atau kebangsaan," katanya.

Ujarnya jika ada mana - mana pemainnya yang diintai oleh pasukan lain suatu hari nanti, sudah pasti dia akan turut berbangga kerana ubi muda itu dilatih olehnya sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 2:27 PM