PROTON Iriz menerima penarafan lima bintang.
PROTON Iriz menerima penarafan lima bintang.
Oleh Erywan Norshal


Faktor harga, reka bentuk dan jimat minyak menjadi soalan lazim bagi seseorang sebelum mereka mengambil keputusan membeli kereta idaman.

Bagaimanapun, faktor keselamatan pula, mungkin tidak ‘disentuh’ ketika melakukan urusan membeli kenderaan, asalkan ketiga-tiga ciri utama itu memenuhi kehendak mereka.

Bagi memastikan isu keselamatan kenderaan di negara ini, Program Penilaian Kereta Baharu Rantau Asia Tenggara (ASEAN NCAP) yang dilaksanakan empat tahun lalu mampu menyelesaikan masalah itu apabila badan berkenaan menyediakan maklumat penting kepada pengguna berhubung aspek berkenaan.

Setiausaha Agung ASEAN NCAP, Khairil Anwar Abu Kassim berkata, sehingga kini, pihaknya sudah pun menguji kira-kira 40 unit kenderaan untuk menilai keselamatan dengan memberi penarafan satu sehingga lima bintang.

Menurutnya, kenderaan di Malaysia lebih selamat berbanding negara Asia Tenggara lain kerana terpaksa mematuhi undang-undang yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Buat masa ini, kita melakukan dua ujian utama iaitu pelanggaran hadapan secara ‘offset’ dan sisi yang masing-masing dengan kelajuan 64 kilometer sejam (km/j) serta 50km/j.

“Skim pemarkahan pula ada dua kategori membabitkan Pelindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan Pelindungan Penumpang Kanak-kanak (COP),” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Khairil berkata, spesifikasi kenderaan di negara ini lebih selamat apabila perlu mematuhi peraturan yang dibuat JPJ pada 2011 dan 2012 membabitkan peraturan R94 (Keselamatan Pelanggaran Hadapan) serta R95 (Pelindungan Penumpang Pelanggaran Sisi).

“Kita mahu semua kenderaan ditawarkan di negara ini selamat...sebagai contoh Nissan Teana yang mencatat markah penuh iaitu 16 malah pemandunya akan selamat tanpa kecederaan sekiranya berlaku pelanggaran pada kelajuan 64km/j.

“Kita harapkan kenderaan seperti ini lebih banyak ditawarkan supaya orang ramai boleh memilikinya,” katanya.

Menurutnya, bagi kenderaan tempatan, kereta penarafan empat bintang yang mampu milik adalah Perodua Axia tanpa ABS, tetapi memiliki keselamatan pasif seperti beg udara, ketahanan struktur kenderaan dan tali pinggang.

Katanya, bagi kereta nasional pula, Proton Iriz menerima penarafan lima bintang sekali gus menjadi kenderaan berbaloi untuk dimiliki.

Khairil Anwar turut memaklumkan bahawa hala tuju baru ASEAN NCAP adalah supaya pengeluar kenderaan mengambil kira pelanggaran atau menghalang kemalangan membabitkan motosikal seperti kereta dilengkapi teknologi titik buta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:01 AM