KHAIRIL Aslan bersama basikal untuk Ekspedisi dari Masjid Ku Menjelajah Semenanjung Malaysia.
KHAIRIL Aslan bersama basikal untuk Ekspedisi dari Masjid Ku Menjelajah Semenanjung Malaysia.
Siti Fatimah Nasir


Bangi: Pendaki solo negara, Khairil Aslan Ab Rasid, 42, akan mengadakan ‘Ekspedisi dari Masjid Ku Menjelajah Semenanjung Malaysia’ bermula Ahad ini hingga 15 Mei ini.

Ekspedisi anjuran Masjid Al-Mustaqim di sini itu membabitkan perjalanan kira-kira 100 kilometer (km) sehari dalam tempoh sebulan.

Khairil Aslan berkata, ekspedisi itu secara langsung akan memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mendekatkan diri dengan masjid dan pada masa sama terbabit dalam aktiviti sukan lasak.

“Saya juga akan singgah di beberapa masjid sebagai tempat berehat dan pada masa sama memberi sedikit perkongsian kepada masyarakat umum mengenai pengalaman saya menawan beberapa puncak gunung di dalam dan luar negara.

“Bukan itu saja, menerusi ekspedisi seperti ini, kita dapat tengok sejauh mana keprihatinan rakyat Malaysia terhadap sesuatu ekspedisi,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, ekspedisi itu adalah latihan bagi persiapan program ‘Peninsular Malaysia Solo Expedition’ (PMSE) membabitkan kayuhan basikal dan memanjat gunung.

“Setakat ini perancangan untuk PMSE sudah dibuat dan ekspedisi dijadual bermula pada hujung Jun dan tamat pada 31 Ogos di Dataran Merdeka.

“Menerusi ekspedisi PMSE, saya akan menawan 16 puncak gunung tertinggi di Semenanjung,” katanya.

Khairil Aslan sebelum ini pernah mendapat perhatian terutama di laman sosial kerana melakukan ekspedisi menarik tayar.

“Kali ini, saya ingin mencuba sesuatu yang baru dengan kerjasama masjid dalam ekspedisi kayuhan berbasikal solo,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 11:26 AM