PEMAIN tengha Greece Manolis Siopis (tengah) cuba menghalang Cody Gakpo (kanan) dalam aksi perlawanan kelayakan Euro 2024. -FOTO AFP
PEMAIN tengha Greece Manolis Siopis (tengah) cuba menghalang Cody Gakpo (kanan) dalam aksi perlawanan kelayakan Euro 2024. -FOTO AFP
AFP

Eindhoven, Belanda: Belanda menjaringkan tiga gol pada separuh masa pertama untuk menewaskan Greece di Eindhoven dengan kemenangan itu membawa mereka berada di kedudukan kedua dalam Kumpulan B kempen kelayakan Euro 2024.

Dibelasah 4-0 oleh Perancis pada perlawanan pembukaan pada Mac lalu, Belanda kemudiannya menewaskan Gibraltar 3-0 dan meletakkan mereka di kedudukan ketiga kumpulan pada ketika itu.

Belanda mendahului selepas 17 minit apabila Denzel Dumfries menanduk bola ke sudut dari hantaran silang Daley Blind untuk Marten de Roon menyumbat gol pertama.

Dumfries membantu gol kedua pada minit ke-31 apabila menghantar bola kepada Cody Gakpo dalam petak penalti untuk membolehkan penyerang Liverpool itu merembat masuk gol kedua.

Lapan minit kemudian, Dumfries yang menyedari Wout Weghorst keseorangan di hadapan gol membuat hantaran kemas kepada penyerang Hoffenheim untuk gol ketiga Belanda.

Jurulatih Ronald Koeman kemudiannya menurunkan beberapa pemain utamanya pada babak kedua dan memberi Tijjani Reijnders penampilan sulung antarabangsanya.

Belanda kini memintas Ireland dan Greece untuk menduduki tempat kedua dalam kumpulan.

Mereka mengekori pendahulu Perancis, yang menewaskan Ireland 2-0 di Paris dengan sembilan mata tetapi mempunyai dua perlawanan dalam tangan.

Ketika Perancis beraksi dalam persahabatan minggu depan, Belanda akan bertandang ke Dublin Ahad ini. Greece akan melayan Gibraltar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 8:19 AM