KOEMAN dilantik jurulatih Belanda menggantikan Louis van Gaal
KOEMAN dilantik jurulatih Belanda menggantikan Louis van Gaal
Reuters

Amsterdam: Jurulatih Belanda Ronald Koeman mahu melihat pendekatan mental yang lebih keras daripada pemainnya selepas permulaan yang mengecewakan dalam tempoh baharunya bersama pasukan itu tahun ini.

Belanda kini sudahpun tewas tiga daripada empat perlawanan sejak Koeman menggantikan Louis van Gaal, termasuk dua perlawanan di pusingan akhir Liga Negara-Negara ketika mereka menjadi tuan rumah pada Jun.

Mereka meneruskan kempen kelayakan Kejohanan Eropah Khamis ini dengan pertembungan Kumpulan B menentang Greece di Eindhoven sebelum berkunjung ke Dublin pada Ahad untuk menentang Republik Ireland.

"Suasana yang sangat baik dalam skuad, anda boleh lihat apabila pemain bergabung bersama," kata Koeman.

"Tetapi anda juga perlu lebih tegas antara satu sama lain. Saya fikir pemain tidak cukup membetulkan satu sama lain.

"Jika bek sayap itu membenarkan pemain sayap lawan melepasi pasukan beberapa kali, anda perlu menyatakan sesuatu mengenainya. Ia mengenai komunikasi."

Koeman berkata keputusan buruk baru-baru ini adalah "kemunduran yang besar" dan berkata dia berharap pemain menyedari kepentingan dua perlawanan kelayakan dalam tempoh enam hari akan datang.

"Kami akan mengubah beberapa perkara untuk memberi tekanan kepada lawan. Anda tidak sepatutnya menutup mata anda melihat jumlah gol yang kami bolos. Nampak logik kepada saya bahawa kita mahu mengubahnya.

"Rasanya seperti kami perlu betulkan sesuatu. Bukan sahaja dari segi permainan, tetapi juga dari segi keputusan," katanya.

"Saya yakin semuanya akan baik-baik saja pada hari Khamis."

Belanda sudahpun beraksi dua perlawanan Kumpulan B, tewas 0-4 kepada Perancis dan kemudian mencatat kemenangan di tempat sendiri ke atas Gibraltar pada bulan Mac.

Pada bulan Jun mereka tewas kepada Croatia dan Itali di tempat sendiri dalam perlawanan akhir Liga Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 7:24 AM