PENJAGA gol Greece Vlachodimos gagal menyelamatkan sepakan penalti kedua Mbappe.
PENJAGA gol Greece Vlachodimos gagal menyelamatkan sepakan penalti kedua Mbappe.
AFP

Paris: Jaringan penalti Kylian Mbappe membolehkan Perancis menewaskan Greece 1-0 awal pagi tadi yang mengekalkan rekod kemenangan sempurna mereka dalam aksi kelayakan Euro 2024.

Bintang Paris Saint-Germain dan kapten Perancis itu menyaksikan rembatan penaltinya diselamatkan pada babak kedua tetapi dibenarkan membuat percubaan sekali lagi selepas kesalahan dilakukan pertahanan Greece.

Dia tidak melakukan kesilapan kedua dan Perancis sepatutnya boleh menang lebih besar selepas pertahanan Konstantinos Mavropanos dibuang padang susulan kekasaran ke atas Randal Kolo Muani.

Selepas menewaskan Gibraltar 3-0 di tempat lawan Sabtu lalu dan kini mengatasi Greece di tempat sendiri mengukuhkan kedudukan Perancis selaku pendahulu Kumpulan B dengan 12 mata daripada empat perlawanan.

Mereka tidak melepaskan sebarang gol setakat ini dan enam mata mengatasi Greece walaupun beraksi lebih satu perlawanan.

"Ia musim sangat panjang kepada pemain. Mereka menunggu cuti tetapi kami perlu melakukan yang terbaik untuk menang perlawanan," kata jurulatih Didier Deschamps kepada wartawan.

"Pasukan ini kurang pengalaman berbanding enam bulan lalu tetapi masih terdapat beberapa kualiti."

Selepas membuka kempen dengan menewaskan Belanda dan Republik Ireland pada Mac, naib juara Piala Dunia tahun lalu tampak semakin hampir layak ke pusingan akhir di Jerman tahun depan.

Perlawanan Perancis seterusnya menentang Ireland pada September bakal meyaksikan kelab mana pilihan Mbappe untuk musim depan.

Pemain berusia 24 tahun itu yang mengambil alih tugas kapten Les Bleus selepas persaraan Hugo Lloris, mengesahkan minggu lalu dia tidak akan melanjutkan kontraknya yang tamat tahun depan.

Mbappe melupakan seketika spekulasi masa depannya dengan meledak penalti ketika menentang Gibraltar dan dia dia sekali lagi menjadi wira ketika Perancis kurang menyengat ketika menentang Greece.

Jaringan itu yang ke-13 buat Mbappe dalam 13 perlawanan Perancis musim ini dan meledak 41 gol dalam semua kejohanan bersama PSG.

Dia kini menjaringkan 40 gol dalam 70 perlawanan untuk negaranya dan hanya perlukan satu lagi gol untuk menyamai rekod Michel Platini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 8:34 AM