PEMAIN Selangor FC, Brendan Gan (tengah) dikawal pemain KL City. FOTO ASYRAF HAMZAH
PEMAIN Selangor FC, Brendan Gan (tengah) dikawal pemain KL City. FOTO ASYRAF HAMZAH
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kebimbangan pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe di atas persembahan tidak menentu anak buahnya tampak berakhir apabila bekas jurulatih skuad Harimau Malaya itu memuji aksi konsisten dipamerkan ketika membenam Kuala Lumpur City FC (KL City), malam tadi.

Jelas Cheng Hoe, kemenangan 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu bukan saja menghadiahkan tiga mata buat pasukan, malah aksi lebih meyakinkan termasuk tidak melakukan kesilapan nyata menggembirakan jurulatih yang berasal dari Kedah itu.

"Kami sememangnya kurang konsisten dalam perlawanan tetapi kini pemain sudah menunjukkan keserasian dan sudah memahami kehendak taktikal kerana ia memerlukan masa.

"Pemain juga sudah kurang melakukan kesilapan individu tetapi masih banyak ruang yang boleh diperbaiki dan kami akan sentiasa meningkatkan prestasi bagi menghadapi perlawanan akan datang," katanya pada sidang media selepas aksi ke-20 Liga Super itu.

Dalam perlawanan yang disaksikan ribuan penyokong Red Giants itu, tuan rumah meraih jaringan dalam setiap babak menerusi Harith Haiqal dan Ayron de Valle, masing-masing pada minit ke-32 dan 76.

Kemenangan itu terus meletakkan Selangor FC di landasan tepat menamatkan kedudukan Liga Super selaku naib juara untuk mengejar tiket Piala AFC musim depan.

Menurut Cheng Hoe lagi, beliau turut memuji karakter pemain meskipun beraksi tanpa kehadiran beberapa tonggak utama.

"Pemain yang diturunkan hari ini (mama tadi) menunjukkan karektor yang baik walaupun sebelum perlawanan.

"Satu tekanan buat kami untuk menang perlawanan ini, sejak dari sesi latihan lagi pemain sudah tunjukkan kesungguhan untuk memenangi perlawanan ini.

"Kita lihat bahagian pertahanan dan juga serangan bermain bersungguh-sungguh pada malam ini (malam tadi) untuk mendapatkan kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 1:19 PM