CHENG Hoe memberi arahan kepada pemain Selangor ketika menentang TFC, Isnin lalu. FOTO GHAZALI KORI
CHENG Hoe memberi arahan kepada pemain Selangor ketika menentang TFC, Isnin lalu. FOTO GHAZALI KORI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketika ramai peminat dan pemerhati meramalkan Johor Darul Ta'zim (JDT) akan mudah memenangi aksi final Piala Malaysia musim ini, tiada siapa mengingati sentuhan Tan Cheng Hoe yang sebenarnya mampu menterbalikkan keputusan itu berpihak kepada Selangor FC.

Memang benar JDT ketika ini sedang berada di puncak prestasi dengan kejayaan menyapu dua trofi iaitu Piala FA dan Liga Super, selain Piala Sumbangsih, namun keajaiban 'sifu' Cheng Hoe mengubah nasib Red Giants sejak mengambil alih pasukan pada bulan lalu tidak boleh diketepikan begitu saja.

Selangor yang terumbang-ambing dari awal musim dilihat berubah apabila mencatatkan kemenangan demi kemenangan sebelum tumbang kepada Terengganu FC (TFC) pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, Isnin lalu.

Malah, JDT pastinya masih mengingati bagaimana Cheng Hoe pada 2017 pernah 'memalukan' mereka dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Larkin apabila Kedah muncul pemenang selepas merakam kemenangan 5-4 menerusi penentuan penalti 5-4 selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar.

Titik tolak daripada kejayaan itu, sepanjang musim itu menyaksikan pertemuan kedua-dua pasukan cukup seimbang, sebelum secara tiba-tiba Cheng Hoe ditawarkan jawatan selaku penolong pengendali Harimau Malaya pada pertengahan 2017.

Berada di pentas final Piala Malaysia bukanlah suatu perkara asing buat Cheng Hoe kerana beliau sebelum ini pernah mendakap trofi tertua di Asia itu dengan membawa Kedah muncul juara pada 2016.

Lantas, untuk mengatakan JDT bakal tampil sebagai pasukan pilihan adalah tidak tepat, malah Red Giants sebenarnya mampu memberi tentangan sengit terutama selepas pasukan itu berada di bawah kendalian Cheng Hoe.

Begitupun, pada sidang media selepas aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia di Kuala Terengganu Isnin lalu, Cheng Hoe tampak lebih selesa hadir selaku 'underdog' untuk pertemuan kemuncak itu nanti.

Namun di sebalik kenyataannya itu, bekas jurulatih kebangsaan itu masih positif dan yakin mampu mengejutkan lawan jika anak buahnya tampil konsisten dan fokus sepanjang aksi.

"Mereka (JDT) cukup konsisten dalam Liga Malaysia, tetapi sebagai jurulatih, saya masih positif dan menaruh harapan setiap pemain perlu yakin untuk menentang JDT, walaupun mereka ada kekuatan terutama di bahagian serangan dan pertahanan.

"Pemain seperti Bergson (da Silva) dan Forestieri (Fernando) memang kuat dan pertahanan mereka memang cukup kuat untuk menghalang kita daripada menjaringkan gol, tetapi apa sahaja boleh berlaku di final," katanya yang amat mengenali hampir separuh tonggak JDT yang pernah dibimbingnya ketika bersama skuad Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 6:22 PM