Pemain Selangor FC Noor Al-Deen Mahmoud Ali Al Rawabdeh (tengah) meraikan jaringannya. FOTO Bernama
Pemain Selangor FC Noor Al-Deen Mahmoud Ali Al Rawabdeh (tengah) meraikan jaringannya. FOTO Bernama
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kekuatan karektor berjaya memacu Selangor FC bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Kedah Darul Aman FC dengan 3-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Perkara itu diakui pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe yang memuji karektor setiap pemain yang tidak mudah berputus asa terutama selepas ketinggalan sebanyak dua kali.

Katanya, bukan mudah untuk bangkit daripada ketinggalan apabila berdepan Kedah yang beraksi cukup berdisiplin sepanjang aksi.

"Sudah tentu pujian harus diberikan kepada pemain kerana menunjukkan satu karektor satu perjuangan habis-habisan untuk kemenangan," katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Dalam aksi itu, skuad Red Giants ketinggalan dua kali bermula seawal minit keenam hasil jaringan Amirbek Juraboev, sebelum tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Ayron del Valle di minit 23.

Pelawat sekali lagi memimpin aksi dan kali ini Willian Lira mencetak nama selaku penjaring di minit 28.

Anak buah Cheng Hoe nyata memiliki kekuatan mental yang kuat apabila kembali bangkit memadam kelebihan lawan di minit 40 menerusi Faisal Halim sebelum pemain gantian Noor Al-Rawabdeh muncul wira untuk menoktahkan kemenangan buat Selangor.

"Sebagai jurulatih ia adalah kemenangan yang baik, bukan mudah untuk menang malam ini kerana Kedah juga bermain begitu baik.

"Kita boleh lihat mereka mempunyai bahagian serangan amat baik yang cukup merbahaya, dan dihujung permainan kita nyaris dibolosi yang mungkin menyebabkan kita kehilangan mata dan merugikan pasukan juga.

"Pemain masih lagi muda dan perlu mengharungi situasi aksi yang sukar, dan ia baik untuk masa depan mereka supaya kemenangan ini memberi keyakinan kepada diri mereka dan juga pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 1:50 PM