CASAGRANDE (kanan) menyerlah ketika menentang Kelantan United manakala Shahrel Fikri masih belum cergas.
CASAGRANDE (kanan) menyerlah ketika menentang Kelantan United manakala Shahrel Fikri masih belum cergas.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) hampir pasti mempertaruhkan gandingan Casagrande dengan Hein Htet Aung untuk mengemudi jentera serangan pada aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Likas, malam esok.

Penolong jurulatih NSFC, K Nanthakumar berkata, ia berikutan bekas penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md Fauzi masih belum boleh diturunkan kerana kurang cergas, manakala Youssef Ezzejjari, memerlukan sedikit masa untuk memahami taktikal pasukan.

"Kita mungkin mengharapkan gandingan Casagrande dan Htet Aung menerajui barisan depan selepas kedua-dua pemain menunjukkan persembahan baik ketika menentang Kelantan United FC, baru-baru ini.

"Selain mereka, kita juga mempunyai beberapa pilihan lain termasuk Mahali Jasuli dan Sean Eugene Selvaraj serta A Selvan.

"Kesemua pemain berkenaan berada pada tahap persediaan yang baik untuk diturunkan menentang Sabah dan kami menyasarkan untuk membawa balik mata daripada aksi di gelanggang lawan itu," katanya di sini, hari ini.

Pada perlawanan pusingan pertama dengan Sabah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kedua-dua pasukan terikat 1-1, dengan Tommy Mawat menjadi penyelamat buat skuad Hobin Jang Hobin menerusi jaringan dilakukannya pada lewat permainan.

Dalam pada itu, Nanthakumar berkata, pihaknya tidak dapat menurunkan tonggak pertahanan kental, Herold Goulon, selepas pemain berbadan sasa itu mengumpul tiga kad kuning.

Menurut bekas pemain kebangsaan itu, ketiadaan Goulon dijangka tidak akan memberi kesan besar kepada bahagian pertahanan pasukan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 6:57 PM