EZZEJJARI (kiri) perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan skuad NSFC. FOTO FB NSFC
EZZEJJARI (kiri) perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan skuad NSFC. FOTO FB NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Dua pemain import baharu Negeri Sembilan FC (NSFC), Hein Thet Aung dan Youssef Ezzejjari tidak diturunkan ketika menentang Selangor FC, Isnin lalu, disebabkan mereka belum serasi bersama pasukan.

Perkara itu ditegaskan ketua jurulatih NSFC, K Devan selepas beliau merehatkan Thet Aung dan Ezzejjari pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, yang berkesudahan mereka kecundang 0-4.

"Youssef belum dapat menyesuaikan lagi dengan corak permainan kami, malah ketika dia diturunkan dalam kesebelasan utama bertemu Kelantan tempoh hari, persembahan kurang menjadi.

"Hein pula tidak boleh beraksi menentang Selangor, jadi saya tidak meletakkan dia dalam senarai menentang Selangor bagi mengelak dia seperti tidak berfungsi.

"Youssef memerlukan sedikit masa untuk mencapai status penyerang utama kami dan perlu menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan," katanya.

Thet Aung dari Myanmar adalah bekas pemain Selangor manakala Ezzejjari dari Sepanyol, sebelum ini beraksi dengan kelab Indonesia, masing-masing menjadi anggota baharu skuad Hobin Jang Hobin pada sesi perpindahan kedua pemain Liga Malaysia (Liga M), akhir bulan lalu.

Devan berkata, khidmat dua pemain itu bakal digunakan apabila melayan kunjungan Kelantan United FC pada aksi kedua Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Ahad ini.

Mengenai penjaga gol utama Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Devan berkata, prestasi pemain kebangsaan itu yang sedikit menurun menyebabkan dia direhatkan sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 6:53 PM