SHAHREL Fikri atau Eky sudah meledak lima gol untuk NSFC pada musim ini. FOTO FB NSFC.
SHAHREL Fikri atau Eky sudah meledak lima gol untuk NSFC pada musim ini. FOTO FB NSFC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Gandingan Shahrel Fikri Md Fauzi dengan Youssef Ezzejjari hampir pasti menjadi sandaran Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam kunjungan ke Kelantan FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu, malam esok.

Kedua-dua pemain itu yang dimasukkan pada sebahagian perlawanan ketika menang 1-0 ke atas Kelantan United FC, dalam saingan pusingan 16 Piala Malaysia, Sabtu lalu, dijangka digandingkan sekali lagi.

Penolong jurulatih NSFC, K Nanthakumar berkata, mereka akan menyenaraikan semua pemain utama pada pertembungan itu termasuk dua penyerang import baharu, Hein Thet Aung dan Ezzejjari, selain Shahrel Fikri atau Eky dan Sean Eugene Selvaraj.

Katanya, misi utama skuad Hobin Jang Hobin adalah mendapatkan tiga mata bagi mengakhiri kemarau kemenangan yang dialami dalam enam perlawanan terakhir liga, sebelum ini.

"Kami berharap kemenangan ke atas Kelantan United FC dalam saingan Piala Malaysia, minggu lalu, dapat diteruskan ke atas Kelantan bagi saingan liga.

"Kami perlu mendapatkan semula rentak kemenangan kerana keputusan dalam enam perlawanan terakhir liga sejak Jun lalu kurang baik apabila hanya sekadar seri empat kali dan dua kali tewas.

"Tiga mata dalam pertembungan dengan Kelantan malam esok amat penting supaya pasukan dapat memperbaiki kedudukan dalam liga," katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu berharap anak buahnya dapat meningkatkan kualiti persembahan dengan menterjemahkan segala perancangan bagi memenangi perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 4:36 PM