HEROLD Goulon dijangka kekal menerajui bahagian pertahanan Negeri Sembilan pada kunjungan Perak FC di Paroi, esok. FOTO FB NSFC
HEROLD Goulon dijangka kekal menerajui bahagian pertahanan Negeri Sembilan pada kunjungan Perak FC di Paroi, esok. FOTO FB NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) berkemungkinan masih tidak dapat memanfaatkan gandingan dua penyerang utama, Casagrande dan Shahrel Fikri Md Fauzi pada pertembungan Liga Super menentang Perak FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Ketua jurulatih, K Devan memaklumkan kedua-dua pemain terbabit belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang mereka dialami dan pihaknya tidak mahu mengambil risiko jika mereka diturunkan dalam perlawanan berkenaan.

"Setakat ini Casagrande dan Shahrel Fikri (Eky) masih didapati belum pulih daripada masalah kecederaan walaupun kedua-duanya turut menjalani latihan bersama pemain lain.

"Namun saya akan lihat semula sama ada mereka boleh diturunkan untuk tempoh masa tertentu atau sebaliknya ketika kita menentang Perak, esok.

"Tapi kita sudah bersedia untuk menurunkan barisan terbaik kerana cabaran menentang Perak malam esok dijangka bukan mudah, apa lagi dengan reputasi pasukan lawan itu yang ketika ini dilihat sudah berubah termasuk berjaya mengenepikan Sabah FC dalam saingan suku akhir Piala Malaysia.

"Saya akan buat sedikit rombakan dalam kesebelasan utama kerana kita perlu menurunkan barisan pemain yang berada pada tahap 100 peratus cergas dan pada prestasi terbaik," katanya di sini, hari ini.

Menurut Devan, antara pilihan yang beliau ada termasuk kemungkinan akan mempertaruhkan gandingan Youssef Ezzejjari atau Sean Eugene Selvaraj dengan Mahali Jasuli di barisan depan manakala bahagian pertahanan dijangka mengekalkan Herold Goulon, Nasrullah Hanif Johan dan Mohamad Zamri Pin Ramli.

Pengendali berasal dari Bahau itu akui motivasi anak buahnya ketika ini pada tahap yang tinggi untuk memenangi perlawanan walaupun sedar Perak baharu mendapat suntikan semangat hasil layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Justeru, beliau mahu anak buahnya menggunakan peluang sebaik mungkin beraksi di laman sendiri bagi mendapatkan kemenangan.

"Pemain perlu memanfaatkan kelebihan itu untuk mengutip tiga mata kerana Negeri Sembilan sudah agak lama tidak memenangi perlawanan dalam liga, jadi saya berharap pemain tidak mensia-siakan peluang berkenaan," katanya.

Kali terakhir Negeri Sembilan mencatat kemenangan dalam liga adalah menewaskan PDRM FC, 2-1 di gelanggang lawan pada 18 Mei manakala kekalahan terbaharu skuad Hobin Jang Hobin ialah tunduk kepada Sabah 3-1 di Kota Kinabalu, 26 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 5:58 PM