SOLARI mahu pemain waspada cabaran Kelantan FC.
SOLARI mahu pemain waspada cabaran Kelantan FC.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Walaupun di atas kertas Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah sebelah kaki layak ke suku akhir tapi Esteban Solari enggan terlalu selesa apabila melayani kunjungan Kelantan FC pada aksi kedua pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Pengendali JDT itu menegaskan kemenangan 5-1 pada aksi 4 Ogos lalu masih belum selamat dan perlu waspada akan kebangkitan `The Red Warriors' yang kemungkinan akan hadir dengan corak permainan agresif bagi menidakkan langkah Harimau Selatan ke peringkat seterusnya.

Malah beliau juga bakal melakukan rombakan kecil untuk berdepan skuad kendalian Alfredo Vera yang rata-rata dibarisi pemain muda dan menunjukkan corak permainan melawan malah mampu membuat benteng JDT berkerja keras mengekang asakan barisan serangan pasukan itu.

"Kita tidak akan ambil mudah pertemuan menentang Kelantan dan kami jangkakan mereka akan beraksi bersungguh-sungguh kerana bagi mereka tiada apa yang merugikan selepas ketinggalan dengan perbezaan gol agak besar.

"Malah Kelantan yang mengalami kekalahan besar 0-8 kepada Terenggganu FC dalam aksi liga pasti mahu bangkit dan kami tidak akan biar mereka melakukan `keajaiban' sebaliknya kami akan terus memburu jaringan bagi memastikan langkah ke suku akhir terjamin.

"Apapun akan ada rombakan kecil dalam kesebelasan utama pada pertembungan nanti dan saya akan memberi ruang buat pemain yang kurang minit permainan untuk beraksi dalam kesebelasan utama memandangkan beberapa pemain yang sering diturunkan perlu direhatkan.

"Langkah itu penting kerana selepas aksi menentang Kelantan, kami akan berkunjung ke Alor Star bagi pertembungan yang saya anggap ia ibarat`final' apabila berdepan Kedah (Darul Aman FC), 26 Ogos ini yang menjadi penentu buat kami mendakap kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut," katanya.

Solari juga menegaskan beberapa pemain seperti Fernando Forestieri, dan Leandro Velazquez masih mengalami kecederaan dan sedang dalam proses pemulihan, manakala Diogo Luis Santo sudah berlatih bersama rakan sepasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 2:40 PM