Pemain sayap kanan JDT, Arif Aiman Hanapi (kanan) menjalani latihan bersama Afiq Fazail (kiri). FOTO Johor Southern Tigers.
Pemain sayap kanan JDT, Arif Aiman Hanapi (kanan) menjalani latihan bersama Afiq Fazail (kiri). FOTO Johor Southern Tigers.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Tiga kemenangan berturut-turut yang diraih Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan Liga Super membuktikan pemain pasukan itu tampak sudah mengadaptasi corak taktikal yang diterapkan pengendali, Esteban Solari.

Pastinya, aksi menentang Kelantan FC bakal menjadi taruhan terbaik skuad bimbingan Solari bagi meneruskan momentum kemenangan tatkala JDT menerima kunjungan kelab dari Pantai Timur itu pada pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, petang esok.

Justeru pengendali dari Argentina tetap mengingatkan barisan pemain yang bakal diturunkan untuk bersikap sabar untuk memburu gol dan menyusun gerakan dengan lebih tersusun supaya perancangan yang dilakukan tidak berakhir dengan kegagalan.

"Setiap perlawanan yang kami hadapi, pasukan lawan akan cuba bermati-matian untuk tewaskan kami, jadi kami harus berwaspada dengan taktik permainan mereka dan mempamerkan aksi berintensiti tinggi dan mengekalkan konsistensi permainan.

"Apapun, pemain harus bersikap sabar untuk berusaha memburu gol kerana jika kita beraksi dan tekanan, ia menyukarkan usaha mencipta gol malah mental pemain juga akan terjejas dan saya percaya pemain sudah bersedia untuk beri yang terbaik pada aksi menentang Kelantan FC," katanya.

Tanpa kelibat Leandro Velazquez yang mengalami kecederaan ketika aksi menentang Negeri Sembilan FC, baru-baru ini, Solari kemungkinan akan menurunkan Juan Muniz untuk membentuk gandingan tengah bersama Endrick Dos Santos dan Shio Hong Wan yang beraksi cemerlang ketika menang besar 7-0 menewaskan skuad kendalian K Devan, baru-baru ini.

Sepanjang tiga aksi lalu, bekas pengendali Bawah 23 tahun Argentina itu tampak gemar membentuk formasi 3-4-3 dan apa yang menarik, Solari kemungkinan [pening kepala' sama ada mahu menurunkan Oscar Arribas atau Corbin Ong yang berjaya mencipta dua gol ketika menentang NSFC.

Di posisi serangan, kelibat Bergson Da Silva belum pasti diturunkan selepas dikhabarkan masih mengalami kecederaan dan kemungkinan Diogo Luis Santo akan turun buat kali kedua dalam kesebelasan utama bergandingan bersama Fernando Forestieri dan Arif Aiman Hanapi menggempur benteng skuad kendalian Choi Moon-sik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 2:19 PM