AKSI Faisal Halim bersama pasukan Selangor FC. FOTO AIZUDDIN SAAD
AKSI Faisal Halim bersama pasukan Selangor FC. FOTO AIZUDDIN SAAD
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC mengesahkan Faisal Halim semakin positif dan kembali bersemangat selepas agak terkesan susulan penggantungan yang dikenakan terhadapnya pada Rabu lalu.

Perkara itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon kepada Arena Metro yang memaklumkan Faisal diberi cuti rehat beberapa hari bagi menenangkan fikirannya.

Jelasnya, pegawai pasukan yang setiap hari menghubunginya mengesahkan keadaan Faisal semakin baik malah tampak bermotivasi untuk kembali ke pusat latihan Red Giants.

"Buat masa ini dia (Faisal Halim) sedang berehat sambil mencari kekuatan untuk bangkit kembali selepas apa yang terjadi.

"Buat masa ini kita memang setiap hari akan ada pegawai dari kelab hubungi dia bertanya khabar, Alhamdulillah (Faisal dalam keadaan baik).

"Kalau kita lihat pun rata-rata penyokong memberi sokongan kepada dia, bukan saja penyokong Selangor malah bukan penyokong Selangor juga beri semangat untuk dia bersemangat dan bangkit semula.

"Jadi sekarang ini kita akan memantau situasi dari hari ke hari, untuk pegawai-pegawai pegawai yang hubungi dia setiap hari dan buat masa ini semuanya positif dan Faisal pun nampak kuat dan cukup positif," katanya ketika dihubungi.

Ditanya mengenai rayuan bagi mengurangkan hukuman Faisal, Johan mengesahkan Selangor FC akan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Alhamdulillah pihak FAM memberi ruang kepada Faisal membuat rayuan terhadap keputusan jawatankuasa tempoh hari. Jadi InsyaAllah kami sedang membantu Faisal untuk membuat rayuan.

"Harapan kita semoga rayuan Faisal dipertimbangkan dengan sewajarnya dan diselesaikan dalam masa terdekat untuk pasukan dan Faisal sendiri buat perancangan rapi dan awal. Sebab Faisal pun ada buat persiapan untuk pasukan negara dan sebagainya. Jadi ketelitian rayuan itu penting," katanya.

Terdahulu, Selangor FC menerima tamparan hebat apabila Jawatankuasa Tatatertib FAM mengenakan tindakan penggantungan kepada Faisal susulan kenyataan media yang dibuat selepas perlawanan Liga Super 2023 menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 27 April lalu.

Faisal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (kenyataan akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (sumbangan kepada media).

FAM memaklumkan Faisal digantung selama empat bulan serta merta, namun pengantungannya akan dijalankan sebulan terlebih dulu di mana baki tiga bulan lagi ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 1:39 PM