FAISAL digantung empat bulan oleh FAM.
FAISAL digantung empat bulan oleh FAM.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Harapan menggunung tonggak Selangor FC Faisal Halim beraksi dalam tempoh terdekat berkecai apabila hukuman dikenakan terhadap pemain terbabit kekal.

Hal ini bermakna, rayuan dikemukakan Faisal atau dikenali sebagai 'Mat Siu' pada Isnin lalu sia-sia apabila tiada pengurangan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM) membabitkan penggantungan empat bulan terhadap pemain itu.

Menurut sumber, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan hukuman penggantungan terbabit namun pemain itu diberikan kelonggaran untuk menyertai sesi latihan pasukan.

"Hukuman terhadap Faisal boleh dikatakan kekal walaupun pemain terbabit menerusi Selangor FC sudah mengemukakan surat rayuan.

"Jawatankuasa rayuan FAM bersidang sejak jam 3 petang tadi yang turut dihadiri peguam Selangor FC. Jelas keputusan tidak menyebelahi Faisal," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan proses rayuannya membabitkan penggantungan hingga empat bulan Faisal akan didengari hari ini.

Hal ini bermakna, kemungkinan hukuman Faisal yang dikenakan terhadapnya dikurangkan sekali gus boleh beraksi pada saingan Liga Super dalam tempoh terdekat.

Mengikut rekod, Faisal atau turut dipanggil Mickey secara rasmi akan berehat panjang pada baki saingan liga musim ini apabila dia digantung empat bulan oleh FAM.

Hukuman terbabit disahkan Selangor FC menerusi kenyataannya yang memaklumkan Jawatankuasa Tatatertib FAM mengenakan tindakan terbabit susulan kenyataan media dibuat pemain kebangsaan itu selepas perlawanan menentang Sabah pada 27 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 9:37 PM