MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tiga dari kanan) bersama Hamidin (dua dari kiri) melancarkan Liga Wanita Nasional 2023 di Stadium Uitm Shah Alam. FOTO GENES GULITAH
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tiga dari kanan) bersama Hamidin (dua dari kiri) melancarkan Liga Wanita Nasional 2023 di Stadium Uitm Shah Alam. FOTO GENES GULITAH
Firdaus Hashim


Shah Alam: Persoalan adakah Kim Pan-gon akan tetap menyenaraikan nama pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim ke China pada September ini terletak di tangan pengendali skuad Harimau Malaya itu.

Ia dinyatakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menyerahkan segala-galanya kepada kebijaksanaan Pan-gon untuk menyenaraikan Faisal pada jendela aksi antarabangsa September ini.

Katanya, ia terpulang kepada jurulatih dari Korea Selatan itu ketika Faisal kini sedang digantung daripada aksi Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.

"Perkara itu saya serahkan kepada Pan-gon," katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Liga Wanita Malaysia di Stadium Mini UiTM Shah Alam, di sini hari ini.

Untuk rekod, skuad negara bakal berkunjung ke China bagi menghadapi dua aksi persahabatan menentang Syria dan China di sana.

Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Baljit Singh Sidhu menjatuhkan hukuman penggantungan selama empat bulan kepada Faisal.

Penggantungan itu selari dengan kesalahan Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataan yang dikeluarkan pemain itu kepada pihak media selepas aksi antara Selangor menentang Sabah FC, 27 April itu.

Bagaimanapun, Faisal dikenakan penggantungan selama sebulan terlebih dahulu, dengan baki tiga bulan lagi ditangguhkan sehingga Ogos tahun depan, tertakluk kepada kelakuan pemain itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 6:30 PM