FAISAL melihat saingan Pestabola Merdeka yang akan berlangsung bulan depan sebagai antara persiapan terbaik bagi menghadapi Piala Asia 2023. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
FAISAL melihat saingan Pestabola Merdeka yang akan berlangsung bulan depan sebagai antara persiapan terbaik bagi menghadapi Piala Asia 2023. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tonggak Harimau Malaya Faisal Halim hanya mempunyai kesempatan 45 minit sebagai 'modal' untuk menarik perhatian pengendali skuad kebangsaan Kim Pan Gon supaya disenaraikan dalam mengharungi perlawanan persahabatan minggu depan.

Faisal yang juga pemain Selangor FC berkata, nasibnya berbeza berbanding pemain Harimau Malaya lain kerana tidak mempunyai masa mencukupi untuk mempamerkan aksi di atas padang memandangkan dia digantung sebulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Saya hanya beraksi untuk tempoh 45 minit saja namun pemain lain bermain lima perlawanan sekali gus harap tiada isu berkaitan situasi itu.

"Sebagai pemain profesional adalah tugas saya untuk beraksi dengan baik dan apa yang berlaku di belakang tabir tetap perlu diteruskan untuk berbakti buat skuad kebangsaan," katanya, ketika ditemui pada Majlis pengumuman kerjasama FAM bersama AeonBig di Wangsa Maju, sebentar tadi.

Dalam perkembangan lain, Faisal turut melihat saingan Pestabola Merdeka yang akan berlangsung bulan depan sebagai antara persiapan terbaik bagi menghadapi Piala Asia 2023, awal tahun depan.

"Ini satu kejohanan yang baik kerana ia sudah lama tidak dilangsungkan dan pertandingan ini amat baik untuk persiapan kita ke Piala Asia 2023.

"Saya harap barisan pemain dapat memberikan yang terbaik. Sebagai pemain generasi baharu, kita harap dapat memberi sesuatu yang baru kepada penyokong," katanya.

Mengikut rekod, FAM sebelum ini mengesahkan kenyataan Faisal ketika temu ramah media selepas berdepan Sabah FC menjadi punca dia digantung sebulan oleh badan induk itu.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menerusi satu kenyataan menjelaskan, Faisal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataan yang dikeluarkannya pada 27 April itu.

Namun, Faisal membuktikan dia masih berbeza apabila meledak dua gol ketika membantu Selangor FC (SFC) membelasah Kelantan FC 11-2 selepas tempoh penggantungan sebulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 5:54 PM