PEMAIN Selangor MAC akan memberi tentangan sengit pada pertemuan separuh akhir kedua MPFL bertemu Pahang Rangers, Sabtu ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
PEMAIN Selangor MAC akan memberi tentangan sengit pada pertemuan separuh akhir kedua MPFL bertemu Pahang Rangers, Sabtu ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Selangor MAC yakin peluang melangkah ke pentas final dapat dilakukan berbekal semangat juang yang tinggi dipamerkan barisan pemain dibantu sokongan peminat.

Ketinggalan satu gol ke atas Pahang Rangers selepas tewas 3-4 pada saingan separuh akhir pertama Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) di Stadium Tertutup Sukpa, Sabtu lalu bukan penutup untuk mereka menyerah kalah pada separuh akhir kedua, Sabtu ini.

Ketua pasukan Merah Kuning, Muhammad Fariq Mohammad berkata, walaupun tanpa kelibat pemain import, Ali Elrahimi yang dilayangkan kad merah pada perlawanan di Kuantan namun itu tidak bermakna Selangor MAC pincang sepenuhnya.

Menurutnya, kelibat pemain lain tetap masih berbisa dan mampu memberi ancaman kepada Pahang Rangers yang pastinya tidak memandang mudah beraksi di gelanggang lawan.

"Saya tidak nafikan ketiadaan Ali Elrahimi menjejaskan rentak serta corak persembahan pasukan Selangor MAC, kelibat penjaring terbanyak Merah Kuning itu menjadi senjata berbisa untuk menghasilkan jaringan.

"Kita masih mempunyai barisan pemain tempatan yang tidak kurang hebatnya dibantu Matheus Vasconcelos Silva yang akan menjadi pengerak jentera serangan," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Selangor MAC dan Pahang Rangers akan bertemu pada perlawanan kedua separuh akhir MPFL di Kompleks Sukan Negara (KSN) Panasonic, Sabtu ini.

Muhammad Fariq menambah, jurulatih Edgar Eder Baldsso telah mengatur corak permainan yang akan digunakan bertemu Pahang Rangers, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 6:57 PM