SELANGOR MAC (kiri) akan berhadap an Shah Alam City pada suku akhir kedua saingan Piala Futsal Malaysia. MOHD RAFI MAMAT
SELANGOR MAC (kiri) akan berhadap an Shah Alam City pada suku akhir kedua saingan Piala Futsal Malaysia. MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Berbekalkan tiga gol menjadi kelebihan kepada pasukan Selangor MAC terhadap Shah Alam City pada saingan suku akhir kedua di Kompleks Sukan Negara (KSN) Panasonic, Shah Alam, Rabu ini.

Selepas membenam lawan 6-3 pada perlawanan suku akhir pertama kelmarin, peluang Merah Kuning dilihat lebih cerah untuk melangkah ke saingan separuh akhir selepas ini.

Ketua pasukan Selangor MAC, Muhammad Fariq Mohammad berkata, percaturan jurulatih pada perlawanan kelmarin dianggap berkesan walaupun dilihat pemain lambat panas hingga membolehkan lawan tampil dengan begitu garang.

Katanya, kebangkitan pemain dapat dilihat pada babak kedua, rentak dan corak permainan sebenar telah berjaya dipersembahkan yang akhirnya kejayaan berpihak kepada Merah Kuning.

Menurutnya, kemunculan pemain import baharu dari Jepun, Takeshi Higuchi yang masih kurang serasi juga sedikit menjejaskan rentak pasukan yang meletakkan sasaran untuk melangkah ke perlawanan Piala Futsal Malaysia musim ini.

"Walaupun berkelebihan tiga jaringan ke atas lawan (Shah Alam City) namun itu tidak bermakna pemain Selangor MAC memandang mudah pada perlawanan suku akhir kedua Rabu ini, corak permainan menyerang dan memburu gol tetap akan dipamerkan.

"Sebagai ketua pasukan saya akan berusaha membimbing pasukan Merah Kuning untuk melangkah lebih jauh pada musim kali ini," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Untuk rekod Merah Kuning juara Piala Futsal Malaysia musim lalu selepas menewaskan Pahang Rangers pada perlawanan akhir.

Muhammad Fariq berkata, pasukan Selangor MAC kini diperkuatkan pemain import baharu (Takeshi) bagi mengisi kekosongan tempat pemain import dari Iran, Ali Elrahimi.

Seorang lagi pemain import Merah Kuning, Matheus Vasconcelos Silva.

"Selepas menjulang piala Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 kita kini lebih menumpukan kepada mengekalkan kejuaraan Piala Futsal Malaysia yang telah dimiliki musim lalu.

"Walaupun cabaran untuk mengekalkan kejuaraan musim ini dilihat sukar namun ia tidak mustahil dengan semangat tinggi barisan pemain yang ingin mengulangi rekod cemerlang telah dicipta," katanya yang berharap peminat setia Merah Kuning dapat terus memberi sokongan dengan datang menyaksikan perlawanan selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 3:11 PM