VIDA ketika sidang media selepas hadir menonton perlawanan antara Kelantan FC menentang JDT. -FOTO Nik Abdullah Nik Omar
VIDA ketika sidang media selepas hadir menonton perlawanan antara Kelantan FC menentang JDT. -FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida mendedahkan perbincangan pihaknya dan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman hampir selesai.

Vida berkata, perbincangan sudah mencapai 50-50 berkenaan pengambilalihan atau kesepakatan lain untuk memiliki The Red Warriors (TRW).

"Dulu saya lihat bola sepak untuk strategi perniagaan tapi sekarang sebab sayangkan pasukan Kelantan.

"Kita akan bincang daripada segi jumlah harga dan kesepakatan lain yang terbaik untuk pasukan," katanya ketika hadir melihat perlawanan Kelantan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad IV,Kota Bharu, malam tadi.

Vida berkata, dia mengalu-alukan cadangan penubuhan konsortium yang mengumpul beberapa pihak bagi menampung kantung TRW namun perlu melihat aspek lain juga.

"Cara cadangan begitu (tubuh konsortium) ,kita alukan tapi bukan senang, tak boleh banyak nakhoda dalam satu kapal.

"Saya perlu sedikit lagi persefahaman, tak boleh terburu-buru, saya tak mahu ambil dua tahun lepas tu tukar tangan sebaliknya kita nak tengok dalam 10 tahun akan datang," katanya yang pernah menjadi penaja utama TRW pada tahun 2016.

Vida turut dilihat serius mahukan TRW selepas turut matang dalam berbicara soal bola sepak termasuk memberi komen persembahan TRW dan JDT.

Vida juga berkata, prestasi anak buah Zamsaham juga semakin meningkat namun mengakui perlu banyak perkara untuk diperbaiki terutama daripada segi pemain.

Katanya, antara perkara awal yang akan dia utamakan jika memiliki TRW adalah dari segi penstrukturan pemain dan taruhan import untuk memperbaiki kedudukan TRW, pasukan yang digeruni satu ketika dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 1:18 PM