EFFENDI gesa pemilik baharu TRW miliki keupayaan berbelanja besar.
EFFENDI gesa pemilik baharu TRW miliki keupayaan berbelanja besar.
Zulfaizan Mansor

Kuala Lumpur: Individu yang berhasrat mahu mengambil alih Kelab Bolasepak Kelantan (Kelantan FC) perlu memiliki wang sekurang-kurangnya RM15 juta dalam poket.

Anggaran itu hanya persediaan untuk semusim yang mana ia merangkumi kos pengambilalihan kelab, operasi dan wang sokongan sekiranya pasukan berdepan tempoh sukar tidak dapat menjana pendapatan lain.

Bermakna, bagi musim seterusnya pemilik kelab mungkin perlu menyediakan dana lebih besar seandainya gagal menjana keuntungan atau mahu membentuk skuad lebih mantap.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan pemilik kelab tidak boleh memasukkan jangkaan pendapatan daripada penajaan dan hasil jualan tiket dalam bajet pasukan.

Beliau berkata, hasil penajaan dan jualan tiket bukan pendapatan tetap buat pasukan dan ia hanya boleh dianggap sebagai bonus.

"Kelab perlu belanja sekurang-kurangnya RM10 juta untuk semusim bagi membentuk skuad Liga Super (tidak termasuk kos pengambilalihan dan wang sokongan). Jika nak bentuk pasukan lebih mantap dan mampu mencabar kejuaraan mesti perlukan RM15 juta atau RM20 juta.

"Kalau beli kelab tetapi tiada duit (untuk operasi pasukan) tak guna dan sebab itu banyak orang silap, beli pasukan selepas itu tiada duit untuk urus. Malah, duit sokongan pun kena ada untuk digunakan jika tak dapat jana pendapatan lain.

"Jadi untuk memiliki kelab bola sepak buat kali pertama anda perlu ada sekurang-kurangnya RM15 juta bagi menguruskan kelab untuk tempoh semusim. Paling tepat orang yang nak miliki bola sepak kena ada duit dan mampu berbelanja besar, itu sahaja.

"Kalau nak tunggu duit masuk lingkuplah. Kita tak boleh nak harapkan duit dari tajaan atau jualan tiket kerana itu semua bonus. Anda kena ada duit sendiri seperti di England semua kelab ada duit sendiri, pemilik bagi duit," katanya kepada BH Sukan.

Sebelum ini, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman memberi bayangan bahawa nilai bagi The Red Warriors (TRW) melebihi RM5 juta.

Namun, Effendi berpandangan jumlah berkenaan terlalu tinggi jika melihat kepada situasi semasa yang dihadapi pasukan Pantai Timur itu terutama membabitkan isu tunggakan gaji dan kes dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Setakat ini, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham mengesahkan usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida dan pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan berminat untuk mengambil alih kelab itu.

Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman sebelum ini menjelaskan bahawa beliau perlu mendapatkan maklumat terperinci mengenai keadaan TRW terlebih dahulu sebelum memikirkan 'tanda harga' sesuai bagi membeli kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 8:49 PM