PEMAIN Kelantan pada sesi latihan Ogos lalu. FOTO arkib NSTP
PEMAIN Kelantan pada sesi latihan Ogos lalu. FOTO arkib NSTP
Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa bersetuju menjadi penaja utama The Red Warriors (TRW) sekali gus menyelamatkan pasukan itu daripada menarik diri dalam Liga Malaysia (Liga M).

Pengumuman dibuat dalam sidang media yang diadakan di sini, hari ini.

Malam tadi, Annuar dan jawatankuasa tertinggi KAFA berbincang secara teliti mengenai perkara berkenaan menerusi mesyuarat khas.

Annuar berkata, selaku Pengerusi Al Hamra dan RedONE, beliau bersetuju memberi pendahuluan RM3 juta kepada KAFA untuk meneruskan aksi dalam Liga M.

Beliau juga tidak menetapkan syarat yang banyak untuk menjadi penaja utama melainkan mahu warna jersi pasukan, merah dan biru dikekalkan.

"Dengan pengumuman ini, berakhirlah segala polemik dan segala tuduhan yang dilemparkan kepada saya, kononnya, saya dan KAFA bermain drama dan wayang.

"Saya ucapkan selamat maju jaya kepada KAFA dan mereka perlu berusaha bagi menaikkan semula martabat pasukan Kelantan sebagai pencabar utama liga," katanya.

Menurutnya lagi, beliau juga akan menubuhkan satu konsortium penajaan untuk membantu KAFA yang turut disertai tujuh atau lapan syarikat termasuk Vida Beauty Sdn Bhd (Vida Beauty).

Vida Beauty yang menjadi penaja utama TRW musim lalu, menangguhkan tajaannya untuk musim ini sehingga tempoh ditetapkan kemudian.

Sebelum ini, KAFA mendedahkan hanya mempunyai RM800,000 untuk meneruskan musim berikutnya, namun difahamkan sebanyak RM750,000 sudah digunakan untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 12:59 PM