PEMAIN Kuching City FC, Abu Kamara cuba melepasi dua pemain Sabah FC pada saingan Piala Malaysia di Stadium Negeri hari ini. FOTO BERNAMA
PEMAIN Kuching City FC, Abu Kamara cuba melepasi dua pemain Sabah FC pada saingan Piala Malaysia di Stadium Negeri hari ini. FOTO BERNAMA
Zulfaizan Mansor


Kuala Lumpur: Sabah FC meraih bekalan selesa apabila menewaskan pasukan bergelut Kuching City 3-0 pada aksi pertama pusingan 16 terakhir Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching, sebentar tadi.

Keputusan itu turut menyaksikan Aidil Sharin Sahak gagal ujian pertama selepas secara rasmi diumumkan sebagai pengendali baharu Kuching City, Rabu lalu.

Sabah tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila Ramon Machado menyumbat gol pembukaan seawal minit keempat sebelum penyerang dari Brazil itu menambah gol kedua tiga minit kemudian.

Belum sempat Kuching City bertenang, pintu gol anak buah Aidil bocor lagi dan kali ini menerusi ledakan kaki kiri Daniel Ting pada minit ke-15.

Harapan untuk melihat aksi lebih rancak pada babak kedua tidak kesampaian apabila Sabah dilihat mengendurkan asakan selain Kuching City bergelut untuk memecahkan kebuntuan jaringan.

Tiada tambahan jaringan yang berjaya dilakukan kedua-dua pasukan menyaksikan kedudukan 3-0 memihak skuad Datuk Ong Kim Swee kekal hingga wisel penamat.

Sabah dan Kuching City akan mengharungi aksi timbal balik di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 19 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 10:53 PM