Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Jaringan lewat Gabriel Peres membantu Sabah FC menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Pemain import dari Brazil itu menjaringkan gol ketiga Sabah pada minit ke-89 selepas menampan bola hantaran Saddil Ramdani ke gawang KL City ketika keadaan kelam kabut dalam kawasan kotak penalti lawan.

Gol berkenaan sekali gus meredakan tekanan Sang Badak selepas ketinggalan 2-1 pada minit ke-70, sebelum disamakan 2-2 pada minit ke-78 hasil jaringan kapten pasukan, Park Taesu.

Kelima-lima gol pada malam ini terhasil pada separuh masa kedua, bermula dengan jaringan pertama Sabah melalui Stuart John Wilkin pada minit ke-50, sebelum disamakan 1-1 oleh pasukan lawan menerusi Romel Morales sembilan minit kemudian.

Jaringan minit ke-59 itu mencetuskan kebangkitan pemain KL City apabila mereka berjaya menambah satu lagi gol minit ke-70 melalui Muhammad Haqimi Azim Rosli untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun, KL City gagal bertahan apabila Park Taesu berjaya menyamakan kedudukan minit ke-78 selepas menyudahkan hantaran daripada Saddil Ramdani.

Harapan KL City untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata dimusnahkan Gabriel 10 minit kemudian yang membolehkan Sabah FC menang 3-2.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 10:37 PM
PERES meraikan jaringannya ketika menentang KL City. FOTO Malaysian Football League
PERES meraikan jaringannya ketika menentang KL City. FOTO Malaysian Football League