Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Ketua Jurulatih Kelantan United Football Club (KUFC), Ailton Silva mengharapkan magis pemain baru yang bakal masuk menjelang jendela perpindahan kedua selepas beliau gagal ujian pertama menentang Sabah FC, malam tadi.

Ailton, 56 berkata pemain tidak memahami tugas yang diberikan dan mengambil mudah perlawanan.

"Mereka membuat kesilapan, ambil mudah sehingga bolos tiga gol, dan kerap mengulanginya.

"Sepatutnya mereka harus beri tumpuan pada posisi masing-masing," katanya ketika sidang media selepas perlawanan yang berakhir dengan keputusan tumpas kepada Sabah 0-3.

Ailton berkata, beliau berharap kehadiran pemain baru Julai nanti mampu mengubah corak permainan skuad kijang hijau.

Katanya, selepas dua pemain diumumkan iaitu penyerang, Ismaheel Akinade dan penjaga gol, Shahril Saa'ri, Kelantan United kini menunggu tiga lagi pemain baharu bagi memperkuat bahagian pertahan dan tengah.

"Saya percaya perlawanan akan datang kita boleh tingkatkan persembahan dan jaringkan lebih banyak gol.

"Ini adalah saingan liga, pemain perlu ubah mentaliti mereka, mereka perlu buktikan mereka mampu, saya lebih percaya kepada gerakan kerja individu dan yakin kita masih boleh (baiki kedudukan liga)," katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Sabah, Rastivlav Bozik berkata kemenangan mungkin berpihak pada skuad Badak tetapi masih banyak 'kerja rumah' untuk diperbaiki.

"Banyak perkara kita kena analisis, keputusan perlawanan, imbas semula perlawanan, kita kawal permainan, persembahan baik di bahagian pertahanan dan cara kita mematahkan pertahanan Kelantan.

"Namun itu bukan kebiasaan yang kita sering main, banyak bola melambung, pembukaan juga tidak mudah, babak kedua barulah nampak kualiti permainan," kata yang menggantikan Datuk Ong Kim Swee.

Beliau berkata, pasukan juga perlu memikirkan jalan selepas kapten mereka, Badrol Bakhtiar mengumpul kad kuning ketiga dan terlepas aksi seterusnya.

"Saya harap kehadiran pemain baru pada jendela perpindahan kedua, dapat mengisi ruang kosong yang ditinggalkan Badrol," katanya.

Beliau juga mengulas prestasi import Indonesia, Saddil Ramdani yang menyumbang gol dan membuat hantaran cantik untuk tiga gol pelawat.

Katanya, persembahan bagus itu menunjukkan Saddil sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 11:26 AM