TOMISLAV Steinbruckner. FOTO GHAZALI KORI
TOMISLAV Steinbruckner. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas menandatangani kontrak baharunya semalam, ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner idam pencapaian yang lebih baik pada musim depan.

Jelas jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu, bagi memastikan matlamat berkenaan dapat direalisasikan, beliau tidak akan melakukan perubahan dan rombakan besar dalam pasukan sebagai persediaan menjelang aksi Liga Malaysia (Liga M) yang dijadualkan pada April 2024.

Steinbruckner menjelaskan, beliau akan membawa masuk beberapa pemain baharu di posisi tertentu bagi memperkasakan lagi pasukannya terutama pada musim depan pihak pengurusan berhajat untuk mengurangkan jumlah pemain import berbanding sembilan pemain pada musim ini.

"Musim pertama saya bersama TFC, pencapaian tidak begitu mengecewakan, dalam saingan Piala Malaysia kita berjaya muncul naib juara selepas tumpas 3-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), saingan Piala FA kita terkandas di separuh akhir dengan penentuan sepakan penalti.

"Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) walaupun gagal ke peringkat separuh akhir, tapi kita tidak kalah dalam semua enam perlawanan dan berjaya menghuni di tangga kedua Kumpulan G, namun sedikit mengecewakan dalam Liga Super kita menamatkan saingan di kedudukan keenam selepas impian awal untuk menghuni dalam tiga kelompok teratas tidak berjaya.

"Berdasarkan pencapaian berkenaan, kami perlu bekerja lebih kuat lagi pada musim depan kerana sasaran kita sudah pasti pencapaian yang lebih baik berbanding musim ini," katanya ketika ditemui selepas tamat aksi terakhir liga menentang Perak FC yang berkesudahan memihak kepada TFC 3-0 hasil jaringan Ivan Mamut, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob dan Nur Hakim Hassan.

Ketika ditanya mengenai perkembangan penyerang JDT, Safawi Rasid, Steinbruckner akui rundingan dengan pihak pengurusan skuad Harimau Selatan itu sudah selesai dan dijangka TFC bakal mendapat khidmat pemain kelahiran Terengganu itu pada musim depan.

"Kami tidak akan melakukan banyak perubahan tetapi kami mahu membawa dua atau tiga pemain baharu. Kami cuba memperbaiki beberapa kedudukan, membawa beberapa pemain baharu dan cuba mengekalkan beberapa pemain juga.

"Saya tahu beberapa pemain akan kembali seperti Safawi daripada JDT sebagai pinjaman. Rundingan hampir selesai, saya harapkan ianya menjadi kenyataan," kata Tommy yang memuji tindakan pantas pihak pengurusan yang menandatangani kontrak beberapa pemain muda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 12:03 PM