PENGENDALI TFC, Steinbruckner. -FOTO Asyraf Hamzah
PENGENDALI TFC, Steinbruckner. -FOTO Asyraf Hamzah
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner akui bukan mudah untuk menundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam esok.

Bagaimanapun jelas Steinbruckner, beliau sudah memiliki formula terbaik untuk memastikan anak buahnya berarak pulang membelah Banjaran Titiwangsa bersama trofi keagungan itu selepas kali terakhir memenangi kejuaraan itu pada 22 tahun lalu.

Lantas bagi memastikan misi itu terlaksana, beliau mendapatkan formula itu daripada bekas pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak yang berjaya menumbangkan JDT di pentas final dan venue sama pada 2021 lalu.

"Bojan (Hodak) dan saya sememangnya rakan, dan ada masa kami bertukar-tukar pandangan dan saya ada bertanyakan kepadanya bagaimana cara mereka melakukannya (menewaskan JDT di final Piala Malaysia 2021).

"Ia termasuk di awal permainan hingga ia berlangsung bagi mendapatkan keputusan yang baik.

"Perlawanan boleh berjalan dalam 90 minit dan ada kala berlanjutan. Kita akan harunginya esok, dan saya ingatkan kepada pemain muda agar jangan takut dan tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya pada sidang media praperlawanan di SNBJ, hari ini.

Dalam perkembangan sama, jurulatih dari Croatia itu menegaskan barisan pemainnya tidak akan memberi laluan mudah buat skuad Harimau Selatan biarpun lawan dilihat cukup ampuh dengan dibarisi skuad berkualiti.

"Ia sememangnya mereka pasukan terbaik. Tapi segalanya akan ditentukan di atas padang. Semua tahu kelebihan dan kualiti yang ada pada Bergson, (Fernando) Forestieri, Arif Aiman Hanapi di mana mereka ada skuad yang lengkap.

"Tapi kami juga ada kekuatan tersendiri, di mana gabungan pemain berpengalaman dan muda akan memberi saingan di final malam esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 2:38 PM