Anggota PDRM bersama anggota FRU mengawal keselamatan di pintu masuk utama stadium. -FOTO Ghazalo Kori
Anggota PDRM bersama anggota FRU mengawal keselamatan di pintu masuk utama stadium. -FOTO Ghazalo Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) akan menghantar surat bantahan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan pengadil pada aksi ke-14 Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam kelmarin.

Pengurus pasukan, Mohd Fazil Wahab berkata, keputusan pengadil perlawanan itu, Mohd Fusser Mad Sallih yang dilihat tidak tepat dan berat sebelah membuatkan pihak pengurusan, pemain serta penyokong tidak dapat menerimanya.

"Jika semua dokumen yang diperlukan selesai, kita akan menghantar surat bantahan kepada badan induk bola sepak negara berhubung ketidakpuasan keputusan pengadil perlawanan itu yang didakwa berat sebelah.

"Kami akan hantar surat secepat mungkin sebagai keadilan agar ia tidak menjadi 'barah' kerana kita mahu melihat kemeriahan perlawanan bukannya terpalit dengan isu pengadil membuat keputusan yang tidak tepat.

"Paling ketara kami lihat kad merah yang diberikan kepada pemain import, Ivan Mamut pada babak kedua selepas 'bertembung' dengan pertahanan JDT, Feroz Baharuddin, ia tidak sepatutnya dilayangkan kad.

"Malah lebih menyedihkan hanya pemain import kelahiran Croatia itu sahaja yang dilayangkan terus kad merah manakala Feroz terselamat, peraturan apa yang dipakai pengadil itu sebelum membuat keputusan berkenaan? Lebih parah ketika itu TFC beraksi dengan sepuluh pemain, ini tidak termasuk dengan insiden lain bermula pada babak pertama lagi.

"Jadi kami harapkan dengan bantahan itu nanti akan membuka mata pelbagai pihak selain pengajaran kepada pengadil sekiranya beliau terbukti melakukan kesilapan dalam perlawanan berintensiti tinggi itu," katanya ketika dihubungi.

Pada perlawanan yang memihak kepada JDT 3-1 itu, selain Mamut dilayangkan kad merah pada minit ke-73, seorang lagi pemain import TFC, Argzim Redzovic juga turut diperintahkan keluar padang pada minit ke-52 selepas menerima dua kad kuning sekali gus menyaksikan skuad Penyu beraksi dengan sembilan pemain menentang JDT dengan 11 pemain.

Semalam kelab penyokong Bolasepak Terengganu FC menuntut pihak pengurusan menghantar surat bantahan kepada FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung mutu pengadilan Mohd Fusser yang dilihat gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik selain didakwa menyalahgunakan kuasa dalam perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 1:29 PM