Sebahagian penyokong TFC yang tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan pada perlawanan Liga Super menentang JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, malam tadi. -FOTO Ghazali Kori
Sebahagian penyokong TFC yang tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan pada perlawanan Liga Super menentang JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, malam tadi. -FOTO Ghazali Kori
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak boleh mengambil tindakan susulan berhubung pretasi keseluruhan pengadil pada aksi Liga Super antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, kelmarin.

Menurut Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman berkata, pihaknya belum lagi menerima laporan lengkap prestasi pengadil Mohd Fusser Mad Sallih yang mengadili perlawanan itu.

Berikutan itu, Azman mengharapkan pihak berkaitan terutamanya penyokong bola sepak bersabar seterusnya dapat memberikan ruang kepada FAM untuk menilai sebelum mengumumkan keputusan kelak.

"Setakat ini saya tak terima apa-apa laporan lagi, saya masih tunggu Jawatankuasa Penilai Pengadil. Saya kena tunggu laporan itu dahulu baru saya boleh bagi reaksi.

"Setiap pasukan ada hak untuk buat laporan (kepada FAM), cuma setakat ini tiada lagi (laporan daripada TFC) dan kita tunggu dulu," katanya.

Pada perlawanan itu, skuad TFC terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas Mohd Fusser melayangkan kad merah kepada Argzim Redzovic pada minit ke-52 sebelum Ivan Mamut dikenakan tindakan sama minit ke-73.

Keputusan itu mencetuskan kemarahan penyokong skuad Penyu terhadap Mohd Fusse yang disifatkan merencatkan perlawanan ketika aksi berkenaan sepatutnya menjadi permainan yang lebih berkualiti.

Sehubungan itu, Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC, Mohd Isa Che Ariffin dilaporkan menggesa pengurusan TFC mengemukakan bantahan kepada FAM dan menuntut badan induk itu menghukum pengadil terbabit.

"Jika pengadil perlawanan itu bijak mengendalikan perlawanan dan tidak berat sebelah, sudah pasti keputusan berbeza selain kami peminat setia yang datang dari pelbagai daerah dekat dan jauh terhibur menyaksikan perlawanan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 1:46 PM